DPMM akui isu kartel dalam perniagaan sudah lama wujud

in Wacana by

SHAH ALAM – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengakui bahawa wujud isu kartel dalam perniagaan terutama makanan sehingga memberi kesan sampingan kepada usahawan-usahawan kecil.

Pengerusi DPMM Perak, Ir Ts Kamarullaffie Ahmad berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, isu tersebut memang sudah lama berlaku, bukan sahaja dari segi bidang makanan, tetapi bidang-bidang lain turut berlaku kartel-kartel tertentu.

Justeru, beliau menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan keperluan permit import (AP) terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta, Rabu lalu kerana ia secara tidak langsung membuka pasaran domestik.

“Kalau tidak, hanya golongan tertentu sahaja yang akan dapat import. Jadi, dengan langkah yang diambil oleh kerajaan ini memang kita amat berterima kasih kerana telah memberi peluang kepada usahawan menceburi bidang perniagaan ini supaya mereka bebas mengimport barang.

“Ini juga secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan kita kepada orang-orang tertentu. Jadi kartel ini memang berlaku, cuma besar atau kecil itu pihak tertentu perlu membuat kajian seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Edisi ke-348 bertajuk ‘Krisis Makanan: Selamatkah Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Isnin.

Program yang dimoderatorkan Dinnie Asyraf Salim itu turut menampilkan Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STep), Mohamad Rozlan Mohamad Razalli sebagai panel jemputan.

Mengulas lanjut, Kamarullaffie berkata, kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan isu kartel tersebut dapat dikurangkan, secara tidak langsung membangunkan usahawan-usahawan di peringkat mikro dan juga sederhana.

“Kebanyakan kartel ini merangkumi syarikat-syarikat besar. Jadi kita usahawan kecil terjejas pendapatan.

“Kalau di Indonesia, kerajaannya telah mengharamkan eksport minyak. Jadi secara tidak langsung kurang hasil minyak kita. Ini juga menyebabkan harga barangan meningkat kerana kurangnya eksport dari negara-negara luar.

“Pada masa sama, kita tidak dapat membeli barangan dari negara luar menyebabkan harga bahan mentah tinggi. Justeru, inilah peranan kita (DPMM) supaya menghalang perkara ini daripada terus berlaku,” ujarnya.