Sentiasalah berbuat baik dengan jiran-jiran

in Pojok by

BEBERAPA hari lepas, Merak Jalanan menerima berita sedih mengenai seorang sahabat yang koma di hospital.

Lebih menyedihkan, kejadian berlaku di depan dua anak kecilnya berusia 3 dan 9 tahun di dalam rumah yang hanya dihuni mereka ketiga.

Mujur anak sulung bertindak bijak menghubungi pengasuh.

Kedua-dua mereka diselamatkan dan ibu mereka dihantar ke hospital.

Situasi seperti ini kerap menghantui golongan ibu tunggal terutama yang memiliki anak-anak kecil.

“Apa akan berlaku jika aku tak sedar diri?” Itu antara persoalan yang bermain di fikiran.

Hal ini mengingatkan Merak Jalanan kepada filem social thriller Hindi berjudul Pihu yang diterbitkan pada tahun 2018.

Kisahnya tentang Pihu, seorang budak berusia dua tahun yang tidak tahu ibunya sudah meninggal dunia di rumah.

Dia keseorangan seharian.

Dalam tempoh 24 jam, pelbagai perkara mendebarkan berlaku termasuk dia bermain dengan ubat tidur dan memanjat balkoni rumahnya dari tingkat yang tinggi.

Jiran-jiran tidak sedar apa yang berlaku sehinggalah terdengar letupan dari dalam rumah Pihu.

Apa pengajaran daripada kejadian sahabat Merak Jalanan dan filem Pihu?

Sentiasalah ada hubungan baik dengan jiran, keluarga dan sahabat.

Paling penting, perlu bersifat terbuka dan maklumkan kepada mereka jenis kebimbangan anda seperti keselamatan anak-anak jika tiba-tiba pengsan.

Harus sentiasa bertanya khabar menerusi WhatsApp.

Dengan cara ini, jiran-jiran akan tahu sama ada anda sihat atau sebaliknya.

Jangan kerana tanggapan ‘tak mahu susahkan orang lain’, kita memperjudikan keselamatan anak-anak yang tidak berdosa.

Situasi ini nampak remeh, tetapi antara perkara paling tidak pernah terfikirkan oleh kita.