Covid-19: 2,071 kes sembuh atasi 1,445 jangkitan baharu

in Koronavirus by

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 2,071 kes sembuh Covid-19 mengatasi jangkitan baharu, 1,445 kes pada Selasa.

Berdasarkan data CovidNow yang dikemaskini jam 11.59 malam Selasa, jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 4,447,682 kes, manakala kumulatif kes positif Covid-19 pula 4,469,370.

Data tersebut turut menunjukkan sebanyak tujuh kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan termasuk tiga kematian di luar fasiliti kesihatan.

Ia menjadikan jumlah kes kematian di negara ini meningkat kepada 35,676 kes.

Perincian mengenai penularan Covid-19 menunjukkan kesemua negeri dan wilayah melaporkan kes dua angka kecuali Selangor (665) dan Kuala Lumpur (287).

Pulau Pinang menduduki tempat ketiga tertinggi melaporkan kes jangkitan iaitu 84 kes, disusuli Perak (73), Negeri Sembilan (72), Kedah (45), Sarawak (44), Melaka (43), Sabah (36), Johor (29), Putrajaya (22), Terengganu (18), Kelantan (15) dan Pahang (13).

Perlis pula melaporkan empat kes manakala satu kes dikesan di Labuan.

Sementara itu, terdapat 23,152 kes aktif direkodkan dengan sebilangan besar iaitu 95.7 peratus (22,160 kes) sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah.

Seramai 19 pesakit berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan 945 kes menerima rawatan di hospital.

Hanya 13 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 15 lagi pesakit memerlukan bantuan mesin pernafasan.