PRU15: Tak lewat sesaat bubar Parlimen, BN sudah sedia

in Analisis Sinar by

PEMBUBARAN Parlimen tidak akan dilewatkan walau sesaat.

Itu jaminan yang sekali lagi dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa ucapan beliau di Konvensyen Barisan Nasional (BN) bersempena sambutan ulang tahun ke-48 gabungan politik itu pada Rabu.

Beliau tidak akan melewatkan walau sesaat pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya BN sudah bersedia.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Mac lalu, Ismail Sabri memberi jaminan isu pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU15 akan dibincangkan bersama pucuk pimpinan tertinggi UMNO atau ‘Top 5’.

Top 5 merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Ismail Sabri.

Ini kerana, kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini membuat parti itu menjadi lebih bersemangat untuk berjuang sehingga timbul desakan terbuka supaya Parlimen dibubarkan segera.

Beliau berkata, sebarang perkembangan dan keputusan mengenai perkara itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diperkenankan.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya di Konvensyen BN turut menyuarakan pandangan parti itu akan berdepan risiko jika masih menangguhkan pembubaran Parlimen.

Najib berkata, perkara sama pernah dilakukan beliau yang menyaksikan sokongan kepada BN kian merosot dan akhirnya tewas buat kali pertama dalam sejarah parti itu dalam PRU14 pada 2018.

Justeru, beliau tidak mahu nasib serupa menimpa BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada PRU15 memandangkan kerajaan sedia ada akan tamat tempohnya tahun depan.

Ahli Parlimen Pekan itu berharap Top 5 UMNO akan berunding sebaiknya dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan untuk PRU15 selain perlu memastikan Perdana Menteri dibantu untuk membuat keputusan dan pilihan tepat kerana risikonya terlalu tinggi.