Malaysia-Singapura tangani Covid-19 jadi kawasan epidemiologi

in Koronavirus by

SINGAPURA – Hubungan serta kerjasama erat antara Malaysia dan Singapura dalam menangani Covid-19 telah menjadikan ia satu kawasan epidemiologi yang akhirnya menyaksikan pembukaan sempadan kedua-dua negara setelah lebih dua tahun ditutup.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu dikongsi bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika beliau mengadakan kunjungan hormatdi Istana Presiden semasa dalam rangka lawatan kerja rasmi empat harinya ke sini.

Khairy berada di Singapura bermula 31 Mei hingga 3 Jun sebagai Felow Pertukaran Lee Kuan Yew yang ketujuh dari Malaysia.

“Pada pertemuan itu, PM Lee dan saya berkongsi pengalaman berhadapan dengan cabaran gelombang Delta dan Omicron sewaktu pandemik Covid-19,” katanya dalam kemas kini terkini di laman rasmi Facebooknya.

Katanya, beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya, kepada Hsien Loong dan kerajaan Singapura dan khususnya kepada Kementerian Kesihatan republik itu atas komitmen serta kerjasama yang sangat baik sepanjang pandemik Covid-19.

“Selain itu, kami juga bertukar-tukar pandangan tentang bagaimana untuk menjalani kehidupan selepas pandemik Covid-19 dengan selamat, peranan teknologi dalam mengukuhkan lagi penyampaian sistem kesihatan negara dan juga kepentingan memahami pendekatan sains tingkah laku yang baik dalam usaha membentuk masyarakat yang bertanggungjawab,” tulisnya.

Dalam tulisannya, Khairy turut menyatakan hasrat untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama dua hala dengan Singapura dan “semoga kedua-dua negara serta penduduknya mendapat manfaat yang sebaiknya”.

Semasa lawatan ke Singapura, Khairy turut bertemu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi Heng Swee Keat,Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin; Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Teo Chee Hean, serta Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial Tharman Shanmugaratnam.

Selain itu, beliau juga bertemu dengan Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Kewangan Lawrence Wong, rakan sejawatannya Ong Ye Kung, dan Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo.

Sempena lawatan itu, Khairy turut berucap pada Sidang Kemuncak Asia Tech x Singapore (ATxSG) dan di Universiti Kebangsaan Singapura, Sekolah Saw Swee Hock bagi Kesihatan Awam.

Ditubuhkan pada 1991, Felow Pertukaran Lee Kuan Yew mempelawa individu yang cemerlang bagi mengadakan lawatan peringkat tinggi ke Singapura.

Individu dipilih berdasarkan rekod prestasi dan potensi luar biasa dalam menyumbang kepada pembangunan negara mereka dan hubungan dua hala dengan Singapura.

Khairy merupakan Felow Pertukaran Lee Kuan Yew ke-71.

Turut sama pada kunjungan hormat itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar serta delegasi Kementerian Kesihatan Malaysia. – Bernama