Covid-19: 1,128 kes baharu, sembilan kematian direkod

in Koronavirus by

SHAH ALAM – Sebanyak 1,128 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 4,516,319 kes.

Berdasarkan data melalui portal CovidNow, Selangor mencatatkan kes paling tinggi dengan 598 kes, Kuala Lumpur dengan 170 kes dan Pulau Pinang (78 kes).

Daripada jumlah kes positif Covid-19 itu juga, seramai 20,239 individu atau 95.5 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah, manakala 918 lagi dirawat di hospital dengan 25 pesakit dirawat di unit rawatan rapi.

Sebanyak 1,547 kes sembuh turut direkodkan melibatkan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 4,460,546.

Sementara itu, sembilan kes kematian turut direkodkan pada Selasa menjadikan jumlah kes kematian sebanyak 35,699 setakat ini.

Daripada jumlah kematian baharu itu, empat kes dikesan meninggal di luar hospital atau brought-in-dead (BID).