Bursa Malaysia ambil petunjuk prestasi lemah Wall Street

in Bisnes by

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka agak rendah pagi Khamis, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman di Wall Street, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.15 mata kepada 1,523.71 daripada penutup hari Rabu 1,523.86.

Indeks utama itu memulakan urus niaga pagi ini 0.55 mata lebih rendah pada 1,523.31.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 153 berbalas 120, manakala 196 kaunter tidak berubah, 1,805 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 158.76 juta unit bernilai RM72.95 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, FBM KLCI ‘tewas’ pada penjualan jam akhir apabila pelabur bergelut untuk mencari pegangan di tengah-tengah kebimbangan mengenai peningkatan inflasi dan tekanan kos.

“Memandangkan terdapat sedikit ‘nada’ negatif di Wall Street, saham teknologi akan tertekan sekali lagi sementara kenaikan harga minyak mentah Brent melepasi paras US$123, ditambah dengan mogok pemandu lori di Korea Selatan, boleh mengancam gangguan rantaian bekalan global serta menambah risiko kepada inflasi global.

“Justeru, kami percaya akan ada aktiviti dagangan positif dalam sektor bertemakan pemulihan kerana kita sedang beralih ke fasa endemik,” katanya.

Sementara itu, minyak sawit mentah (MSM) didagangkan sekitar RM6,450 dan dalam pergerakan aliran menaik.

Bagi sektor tumpuan, firma pembrokeran berpendapat bekalan yang ketat dalam pasaran minyak disebabkan oleh ketegangan Ukraine-Rusia yang tidak dapat diselesaikan selain permintaan yang pulih dari China akan terus menyokong harga minyak, sekali gus memberi manfaat kepada sektor tenaga.

“Selain itu, kami positif terhadap sektor pengguna, REIT, pengangkutan dan logistik,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM8.85, Petronas Chemicals susut lima sen menjadi RM9.80, IHH Healthcare turun dua sen kepada RM6.51, CIMB lega tiga sen kepada RM5.04 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.57.

Bagi saham aktif, Dynaciate meningkat 1.5 sen kepada 16 sen, Yew Lee Pacific dan Metronic menokok 2.5 sen setiap satu masing-masing kepada 31.5 sen dan sembilan sen, LGMS meningkat 4.5 sen menjadi 89 sen manakala Serba Dinamik tidak berubah pada 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 3.81 mata menjadi 10,936.80, Indeks FBM Emas Syariah bertambah 12.95 mata kepada 11,246.33, Indeks FBM 70 meningkat 0.89 mata kepada 13,293.0, Indeks FBM ACE peroleh 6.40 mata kepada 5,240.50 tetapi Indeks FBMT 100 berkurangan 0.64 mata pada 10,621.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 14.49 mata kepada 16,564.62, Indeks Perladangan lemah 11.05 mata kepada 7,800.73 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.06 mata lebih rendah pada 196.20. – Bernama