Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

in Bisnes by

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan terdapatnya jangkaan akan kenaikan kadar faedah di AS, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.3945/3980 berbanding dolar AS daripada 4.3930/3960 pada penutup Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka diniagakan dalam julat ketat hari ini kerana pemain pasaran masih menantikan tindakan selanjutnya penggubal dasar kewangan global.

“Tumpuan adalah pada keputusan dasar monetari ECB yang dijadualkan hari ini. Pada masa yang sama, peserta pertukaran asing masih ‘terperangkap’ dengan keputusan kadar faedah oleh bank pusat utama,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kata sepakat secara umumnya ialah tidak akan ada sebarang perubahan pada kadar faedah penanda aras.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan diadakan pada 14 dan 15 Jun.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.2748/2777 daripada 3.2837/2862 dan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1911/1941 berbanding penutupan semalam (Rabu) pada 3.1928/1952.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.5081/5125 daripada 5.5027/5064 pada Rabu dan lega berbanding euro menjadi 4.7069/7107 daripada 4.7027/7059. – Bernama