Sekarang susah nak cari ayam seringgit

in Pojok by

KEKURANGAN bekalan dan kenaikan harga ayam bukan hanya memberi kesan besar kepada para pengguna, tetapi peniaga kecil terutamanya penjaja ayam goreng seringgit.

Merak Jalanan dan kaum kerabat memang peminat serta penggemar ayam seringgit. Selain harganya yang murah, rasanya pun sedap. Tapi janganlah dipertikaikan saiznya sebanyak berbaloilah dengan harga RM1 seketul.

Jika sebelum harga ayam melambung naik sehingga mencecah RM13 sekilo, gerai menjual ayam seringgit cukup banyak di sekitar Shah Alam. Tapi sejak lepas raya Merak Jalanan perhatikan susah nak dapatkan ayam seringgit.

Merak Jalanan sudah pusing beberapa lokasi di sekitar Shah Alam yang biasa Merak pergi sebelum ini untuk beli ayam seringgit tapi semuanya dah tak ada.

Mula-mula hairan juga, mungkin penjaja ayam seringgit sudah bertukar kerjaya. Tapi tak logik, tak kan semuanya beralih bidang serentak.

Risik punya risik, akhirnya Merak Jalanan dapat jawapannya selepas terserempak dengan bekas rakan sepejabat yang sebelum ini turut berniaga ayam seringgit. Rupa-rupanya dia pun terpaksa tukar jenis jualan, dia jual nasi berlauk pula.

Kata kawan Merak Jalanan, sejak harga ayam naik mereka susah untuk mendapatkan bekalan dengan harga yang sama seperti sebelum ini.

Kalau harga seketul pun mereka dapat daripada pembekalan sudah lebih RM1, macam mana nak jual ayam seringgit. Kenalah tukar nama ayam dua ringgit atau ayam tiga ringgit.

Itulah dilema penjaja ayam seringgit. Pihak berkuasa harap dapat ambil tindakan segera untuk turunkan kembali harga ayam di pasaran.

Katanya, jika keadaan ini berterusan maka ramailah penjaja seperti dia terpaksa tukar kerjaya ataupun jual barang lain untuk mencari rezeki.

Merak Jalanan pun dah kempunan nak makan ayam seringgit yang rangup dan sedap itu. Wahai kerajaan, tolonglah dengar rintihan penjaja dan penggemar ayam seringgit ini. Kasihanilah kami!