Pas konsisten tolak DAP, PKR

in Politik by

ALOR SETAR – Pas konsisten menolak kerjasama politik bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding UMNO yang didakwa bersikap ‘talam dua muka’ apabila menjalin ‘hubungan sulit’ dengan PKR seperti didedahkan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, disebabkan itu Pas menolak pembentukan ‘khemah besar’ yang didakwa akan turut disertai oleh Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, keputusan Pas itu muktamad dan dinyatakan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

“Itu pendirian Pas, maka tidak timbul lah isu kononnya Pas belum bersedia berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disebabkan tiada ‘khemah besar’.

“Sebelum UMNO atau mana-mana pihak dapat hidu mengenai cadangan ‘khemah besar’ itu, Abdul Hadi dan Jawatankuasa Harian Pas Pusat telah mengambil pendirian menolak sebarang kerjasama politik dengan DAP dan PKR,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pendedahan Annuar pada tahun lalu mengenai akuan bersumpah (SD) membabitkan sokongan Pengerusi BN dan beberapa kepimpinan UMNO terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri membuktikan sikap sebenar parti itu.

“Berbeza dengan UMNO kononnya menolak kerjasama dengan DAP dan Anwar seperti dinyatakan pada Persidangan Agung UMNO (PAU) tetapi Presiden sendiri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) adakan ‘hubungan secara sulit’ dengan Anwar. Ia didedahkan melalui perbualan telefon dan surat SD kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan UMNO sokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Hal itu didedahkan sendiri oleh Anuar, hasil pertemuan sulit beberapa tokoh dalam UMNO dengan Anwar antaranya pada 13 Oktober tahun lepas,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi tegaskan adalah lebih baik untuk UMNO melihat apa yang dilakukan oleh mereka berbanding menuding jari menyalahkan pihak lain.

“UMNO Perak juga mengadakan kerjasama dengan DAP di Perak, ini bukan rahsia lagi.

Kerjasama itu antara lain yang dipersetujui untuk berikan peruntukan sama rata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, iaitu BN, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain DAP dan PH.

“Drama pembentukan kerajaan Perak selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ditumbangkan bukan rahsia. Jangan fikir rakyat tak tahu,” katanya lagi.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika mengulas kenyataan UMNO Kedah yang mendakwa Pas belum bersedia berdepan pilihan raya menyebabkan parti itu menolak untuk diadakan PRU15 lebih awal.

Penolakan Pas itu dikaitkan dengan kemungkinan parti itu belum mendapat tempat dalam formula ‘khemah besar’ melibatkan PH yang turut disertai DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Pada Sabtu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Malaysia akan hancur sekiranya rakyat memilih ‘satu atau dua pemimpin gila kuasa’ yang hanya mahu menyelamatkan diri mereka untuk mentadbir negara.

Ia susulan kenyataan yang dibuat Ahmad Zahid bahawa Pas tidak berminat mengadakan PRU15 lebih awal kerana bimbang kehilangan 18 kerusi dimiliki parti itu ketika ini.