S P Setia menang dua Anugerah Emas

in Bisnes by

[DIKEMAS KINI] S P Setia Berhad (S P Setia) menerima pengiktirafan antarabangsa dengan memenangi dua Anugerah Emas di FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2022 menerusi projek KL Eco City (KLEC), Kuala Lumpur dan Setia Marina 2, Setia Eco Glades, Cyberjaya.

FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2022 telah diadakan di Perancis pada 6 Jun lalu.

S P Setia dalam satu kenyataan berkata, kemenangan itu sekali gus mengekalkan rekodnya sebagai pemaju hartanah Malaysia paling banyak menerima Anugerah Emas.

“Kini, S P Setia telah memenangi 15 Anugerah Emas di acara peringkat antarabangsa.

“KLEC memenangi Anugerah Emas bagi kategori pembangunan kegunaan bercampur manakala Setia Marina 2 pula merangkul Anugerah Emas bagi kategori kediaman bertingkat rendah, “ jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, pengiktirafan KLEC dan Setia Marina 2 di peringkat antarabangsa selepas kedua-duanya memenangi anugerah di Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2021, baru baru ini membuktikan kekuatan produknya memenuhi aspirasi setiap orang atau pemilik rumah yang mempercayai jenama Setia.

“Kami berbesar hati dengan penghargaan terhadap komitmen dalam menyediakan pembangunan yang dirancang dengan teliti berdasarkan falsafah pembangunan ‘LiveLearnWorkPlay’ dan usaha berterusan dalam beroperasi sejajar dengan tunjang utama Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.

Beliau berkata, memandangkan gaya hidup dan permintaan telah berubah, terutamanya selepas pandemik Covid-19, pembangunan hartanah kini bukan sahaja menyokong gaya hidup mampan.

“Pembinaan rumah kini juga perlu memantapkan komuniti di dalam dan luar pembangunan melalui peluang perniagaan yang mampan,” katanya.

KLEC dan Setia Marina 2 sebelum ini memenangi kategori pembangunan bercampur dan kediaman bertingkat rendah di Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2021.