Bantu tangani kenaikan belanja sekolah

in Analisis Sinar by

TIDAK cukup tekanan harga barangan harian naik mendadak sejak akhir-akhir ini, ibu bapa kini mula ‘pening kepala’ apabila kos perbelanjaan sekolah anak-anak pula meningkat.

Situasi tersebut memberi tamparan hebat buat ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah atau B40. Mereka tersepit antara berbelanja untuk pendidikan anak-anak, atau menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan lain.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian baru-baru ini, hampir kesemua peralatan sekolah termasuk buku latihan, alat tulis dan kertas A4 naik harga. Ini tidak termasuk harga makanan di kantin sekolah dan tambang bas sekolah yang juga dijangka mengalami kenaikan.

Pengusaha bas sekolah memberi alasan kos penyelenggaraan dan alat ganti kenderaan yang meningkat secara mendadak menyebabkan mereka tiada pilihan selain menaikkan tambang. Alasan itu ada munasabahnya.

Kos sara hidup meningkat termasuk perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak merupakan situasi yang sangat sukar untuk dielakkan. Mahu tak mahu, rakyat Malaysia perlu menghadapinya.

Bagi menangani masalah kos perbelanjaan sekolah yang semakin meningkat, kerajaan perlu memberi perhatian mencari mekanisme serta menyediakan bantuan kewangan kepada ibu bapa terutama B40.

Selain bantuan kewangan, kerajaan juga boleh mempertimbangkan sumbangan barangan persekolahan kepada ibu bapa seperti uniform dan beg sekolah. Ini kerana masih terdapat ibu bapa yang tidak mampu membeli keseluruhan kelengkapan sekolah kerana terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak tahun 2020 dan bencana alam seperti banjir besar baru-baru ini.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga haruslah memainkan peranan dengan mengenal pasti mana-mana ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk diberikan bantuan kelengkapan sekolah anak-anak. PIBG juga boleh mengambil tindakan proaktif dengan mewujudkan satu tabung khusus untuk pelajar B40.

Malah, syarikat-syarikat besar termasuk swasta juga boleh mengurangkan bebanan ibu bapa dengan melakukan program khidmat masyarakat (CSR) memberi bantuan alatan persekolahan kepada ibu bapa yang kurang mampu.

Dengan peranan yang dimainkan pelbagai pihak itu secara tidak langsung dapat menangani sedikit masalah dihadapi ibu bapa.

Persiapan awal

Rentetan peningkatan kos pendidikan, bagi ibu bapa yang berkemampuan pula boleh membuat persiapan awal dengan membuat tabungan ketika anak-anak masih kecil. Simpanan ini boleh digunakan apabila anak-anak mereka masuk sekolah atau universiti pada masa akan datang.

Sekiranya ibu bapa tidak melakukannya dari awal, ia akan menambahkan lagi tekanan dari segi beban kewangan pada kemudian hari.

Pakar kewangan pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri juga mencadangkan agar ibu bapa yang berkemampuan supaya memperuntukkan sedikit pendapatan mereka mengambil pelan pendidikan anak-anak atau insurans takaful.

Bagi anak-anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), beliau mencadangkan supaya ibu bapa mengambil pelan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi pakej bersesuaian dengan kemampuan.

“Kita tengok sebelum ini sewaktu pandemik ramai yang sangat terkesan sebab tidak ada simpanan untuk dana kecemasan. Jadi, mana-mana keluarga yang mampu, bolehlah buat insurans, takaful atau pelan di bawah PTPTN.

“Ini merupakan salah satu inisiatif yang perlu diberi perhatian untuk pendidikan anak-anak, demi masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Penulis secara peribadi bersetuju dengan cadangan pakar kewangan tersebut kerana kos pendidikan di Malaysia semakin meningkat dari masa ke masa.

Sekiranya ibu bapa tidak mengambil pendekatan bermula dari awal, usaha untuk mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak-anak pastinya terbantut.

Pendidikan adalah penting buat generasi akan datang. Sekiranya ibu bapa tidak cukup memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak, sudah tentu negara akan menghadapi masalah dalam melahirkan golongan bijak pandai.

Segala tindakan terletak di tangan ibu bapa bagi merancang kewangan untuk anak-anak. Buatlah perancangan sebaiknya.

* Raja Nur Faznie Aida ialah Wartawan Sinar Harian