Data buruh, produktiviti Malaysia mengelirukan: Pakar ekonomi

in Bisnes by

MALAYSIA perlu menyedari hakikat bahawa data buruh dan sebahagian besar data produktivitinya sebenarnya agak mengelirukan untuk memahami situasi sebenar ekonomi, kata Ahli Ekonomi, Dr Jomo Kwame Sundaram.

Beliau berkata, pada pertengahan dekad lepas menggunakan data telekomunikasi, dianggarkan terdapat kira-kira 6.7 juta pekerja asing di Malaysia.

“Melihat kepada data buruh semasa tempoh itu, terdapat kira-kira 15 juta tenaga kerja di Malaysia yang mana 13 juta adalah warganegara manakala 2.2 juta pekerja asing.

“Dalam kata lain, terdapat kira-kira 4.5 juta yang tidak direkodkan sebagai pekerja asing di negara ini. Angka itu menunjukkan bahawa satu pertiga daripada tenaga kerja terdiri daripada pekerja asing,” katanya semasa sesi “Accelerating Structural Transformation, Driving Economic Growth” pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2022, di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan tentang kepentingan bagi kerajaan untuk mengiktiraf kehadiran pekerja asing bagi memahami isu serius berkaitan sumbangan besar mereka dan implikasi ke atas ekonomi.

“Pandemik ini boleh digunakan untuk memahami dengan lebih mendalam isu-isu ini, tetapi malangnya ia tidak dilakukan. Oleh sebab statistik buruh tidak termasuk pekerja asing, terutamanya yang tidak berdokumen, kita mempunyai data yang sangat mengelirukan.

“Dengan tidak mengambil kira peranan bukan warganegara dalam ekonomi Malaysia, anggaran produktiviti kita tidak tepat dan tidak mencerminkan situasi sebenar,” katanya.

Mengenai bagaimana perkhidmatan diukur, beliau berkata, penyumbang terbesar adalah pekerjaan perkhidmatan awam.

“Bagaimana produktiviti pekerjaan perkhidmatan awam diukur? Ia diukur menerusi imbuhan dan emolumen yang diberikan. Jadi anda mempunyai situasi topologi di mana anda mengandai sumbangan itu dicerminkan oleh pendapatan.

“Tetapi kita juga tahu bahawa atas alasan politik, terutamanya dalam tempoh sedekad setengah lalu, kita melihat peningkatan ketara dalam emolumen, biasanya sebelum pilihan raya umum. Jadi akibat daripada ini adalah kita sebenarnya membesar-besarkan pengeluaran produktiviti dalam sektor awam.

“Dan ini, sudah tentunya bermasalah. Jadi kita ada banyak isu yang perlu ditangani selain daripada isu-isu lain,” katanya.

Sesi pertama “Reviewing Structural Bottlenecks to sustaining Economic Resilience and Unleashing Competitiveness and Productivity for Inclusive Growth” menampilkan Pengerusi George Town Institute of Open and Advanced Studies, Tan Sri Andrew Sheng; felo penyelidikan kanan dan ketua penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar dan Profesor Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Dr Evelyn S Devadason. – Bernama