Harga siling bergerak bantu kekang inflasi, cegah kenaikan harga

in Bisnes by

PENGENALAN harga siling bergerak untuk barangan makanan akan membantu mengekang inflasi dan menghentikan kenaikan harga selain membolehkan harga yang sederhana tanpa mengekalkannya begitu rendah sehingga pembekal mengalami kerugian, kata penganalisis.

Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST), Geoffrey Williams berkata, ia adalah langkah yang baik oleh kerajaan untuk mengurangkan kebimbangan mengenai kawalan harga jangka panjang.

“Harga masih terurus dan ia akan membantu mengekang inflasi serta tidak akan berlaku lonjakan harga makanan,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input sebagai usaha menjamin sekuriti makanan negara.

Williams, yang juga provost MUST untuk penyelidikan dan inovasi berkata harga siling bergerak untuk barangan makanan merupakan kelonggaran kepada mekanisme kawalan harga dan memberi petunjuk kepada satu langkah lebih dekat kepada normalisasi pasaran.

“Akhirnya, ia bermakna kawalan harga berjalan sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, Williams berkata, ia tidak semestinya akan mengurangkan harga makanan melainkan paras siling dikurangkan berikutan ia lebih merupakan isyarat normalisasi dan pengurusan pasaran.

“Kawalan harga tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang lama dan menurut persatuan pengeluar dan kerajaan, kita akan menyaksikan normalisasi bekalan dalam tempoh beberapa minggu. Kemudian harga akan menjadi sederhana,” katanya.

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, Ismail Sabri menegaskan bahawa kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan ditingkatkan untuk menambah saiz tanah untuk kegunaan pertanian.

Pensyarah di Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob bersetuju bahawa kerajaan memerlukan usaha bersepadu untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti sekuriti makanan tetapi ia tidak boleh dicapai tanpa penglibatan serius daripada semua pihak dan perlu menjadi proses yang berterusan.

Bagi mencapai matlamat ini, beliau menggariskan beberapa isu yang perlu dipertimbangkan dan diatasi, termasuk menyediakan tanah kerajaan (melalui lesen pendudukan sementara (TOL)) kepada pihak atau individu yang layak.

Beliau turut mencadangkan pusat pungutan zakat bekerjasama rapat dengan pemilik tanah wakaf manakala tanah terbiar akan memerlukan kebenaran daripada individu yang namanya tertera di dalam geran.

Katanya kerajaan juga perlu menubuhkan syarikat tujuan khas dan penyertaan adalah daripada syarikat awam dan swasta, untuk melaksanakan mekanisme pemantauan serta mewujudkan akauntabiliti dan tanggungjawab. – Bernama