Hilang pedoman apabila ambil harta bukan hak kita

in Pojok by

MERAK Jalanan pernah ada seorang kawan yang menjalani kehidupan yang biasa, dia hanyalah seorang tukang cuci di sebuah bangunan.

Apa yang Merak Jalanan kagum ialah dia memang seorang yang menjaga urusan agamanya dengan baik.

Selain solat lima waktu yang tidak pernah ditinggal, dia juga sering melakukan solat-solat sunat, malah pada masa tertentu dia juga membaca al-Quran. Merak Jalanan amat bangga mempunyai kawan sepertinya.

Bagaimanapun, pada suatu hari dia menemui sebuah telefon bimbit di tepi jalan. Dalam fikiran Merak Jalanan, dia akan pulangkan telefon tersebut yang pada ketika itu amat mahal.

Bagaimanapun, dia enggan memulangkannya dan memberitahu Merak Jalanan bahawa pemilik telefon itu perlu menghubunginya dan memberi wang kepadanya.

Pada ketika itu, Merak Jalanan sedikit kecewa dengan kawan tersebut, kerana sudah lama hidup susah, dia hilang pertimbangan dan gelap mata dengan peluang yang ada.

Dia tidak sepatutnya mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain sebaliknya menganggap telefon itu adalah suatu rezeki kepadanya.

Merak Jalanan selepas itu tidak mahu mengambil tahu apa yang berlaku kepada telefon tersebut dan mendoakan agar kawan tersebut sedar bahawa apa yang dilakukan itu tidak menepati ajaran sebenar dalam Islam.

Inilah yang sikap yang amat membimbangkan kita semua apabila seseorang itu tidak menghayati erti sebenar ajaran Islam dan mudah hilang pedoman apabila diuji oleh Allah.

Kita sepatutnya mempunyai rasa malu jika kita mengambil hak orang lain, mencuri atau melakukan perbuatan rasuah.

Tetapi malangnya, sesetengah daripada kita tidak sedikit pun rasa malu malah berbangga apabila melakukan perbuatan tersebut malah dianggap hero oleh pengikut-pengikutnya.