Muhyiddin sangkal Azmin tinggalkan Bersatu

in Politik by

PUTRAJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar meninggalkan parti.

Menurutnya, dakwaan tersebut merupakan desas-desus yang tidak berasas.

“Kenapa tidak kata semua keluar (Bersatu)? Lagi besar berita.

“Setahu saya tidak betul,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di sini, pada Selasa.

Muhyiddin berkata, beliau bersama Mohamed Azmin kerap membincangkan kedudukan masa depan parti.

“Saya rapat dengan Mohamed Azmin dan kerap berbincang soal masuk keluar dan masa depan (parti),” katanya.

Muhyiddin juga turut menolak dakwaan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon meninggalkan Bersatu.

“Saya ada jumpa beliau semasa sambutan hari raya baru-baru ini dan Mohd Rashid tidak cakap apa-apa pun selain soal makan ketupat,” katanya.

Sebelum ini sebuah portal melaporkan Mohamed Azmin dan Mohd Rashid dijangka meninggalkan Bersatu mengikut jejak Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).