Australia mansuh arahan pakai pelitup muka di lapangan terbang

in Global by

CANBERRA – Kerajaan Australia mengesahkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di terminal lapangan terbang tetapi masih perlu ketika berada di dalam pesawat, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan pada Selasa malam, kerajaan persekutuan mengumumkan bahawa atas nasihat Jawatankuasa Prinsipal Perlindungan Kesihatan Australia (AHPPC), arahan memakai pelitup muka di terminal lapangan terbang akan dimansuhkan mulai Sabtu.

Bagaimanapun, pengembara masih perlu memakai pelitup muka di dalam pesawat untuk mencegah penularan Covid-19.

“Kerajaan menyatakan bahawa AHPPC mengesyorkan rakyat Australia terus memakai pelitup muka sebagai langkah utama untuk membantu meminimumkan penularan Covid-19 dan influenza,” kata kenyataan itu.

Pengumuman itu dibuat ketika kes Covid-19 negara terus meningkat.

Pada pagi Rabu, Australia melaporkan lebih 20,000 kes baharu Covid-19 dan lebih 40 kematian. – Bernama