Bursa Malaysia dibuka rendah

in Bisnes by

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia kembali diniagakan rendah pagi ini kerana para pelabur masih mengambil sikap berhati-hati di tengah-tengah aktiviti urus niaga bercampur-campur di pasaran semalaman Wall Street dan serantau, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.88 mata kepada 1,473.40 daripada penutupan semalam iaitu 1,481.28.

Indeks utama itu dibuka pada 1,480.88, turun 0.40 mata.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 181 berbalas 117 manakala 211 kaunter tidak berubah, 1,770 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 184.58 juta bernilai RM69.50 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya, sentimen di bursa tempatan dijangka kekal suram menjelang keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang bakal diadakan.

“Walaupun sentimen pasaran masih kekal berhati-hati, pelabur mungkin melihat peluang mencari saham berharga murah dalam saham-saham REIT, pengguna dan perbankan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank lega satu sen kepada RM8.67, Public Bank kerugian dua sen menjadi RM4.49, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM9.66, IHH Healthcare turun empat sen kepada RM6.26 manakala CIMB menambah dua sen kepada RM5.01.

Bagi saham aktif, Sapura Energy meningkat setengah sen menjadi lima sen, Unitrade lemah setengah sen kepada 29.5 sen, LGMS menokok dua sen kepada 80 sen sementara Fintech tidak berubah pada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 40.84 mata kepada 10,530.73, Indeks FBM Emas Syariah merosot 47.22 mata kepada 10,755.99, Indeks FBM 70 mengembang 8.70 mata menjadi 12,730.24, FBM ACE susut 3.92 mata kepada 4,935.66 dan Indeks FBMT 100 kerugian 40.32 mata kepada 10,247.57.

Mengikut sektor, Perkhidmatan Kewangan turun 34.11 mata kepada 16,219.79, Indeks Perladangan susut 25.19 mata kepada 7,525.12 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.09 mata menjadi 189.35. – Bernama