Cools tidak menyesal pilih wakili Malaysia

in Sukan by

PEMAIN pertahanan negara Dion Cools tidak menyesal apabila memutuskan untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa berikutan kejayaan skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023, malam tadi.

Pemain kacukan Malaysia-Belgium berasal dari Kuching, Sarawak itu menyertai skuad kebangsaan kira-kira setahun lepas berkata beliau gembira dengan pilihannya kerana keputusan dibuat bukan semata-mata kerana bola sepak tetapi juga berkaitan semangat kenegaraan.

“Saya berdarah Malaysia dan saya sanggup lakukan apa saja demi negara.

“Saya berikan segalanya ketika dalam padang dan selagi saya mempunyai mentaliti sebegini saya akan berikan 100 peratus demi pasukan dan seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 menyaksikan Malaysia menewaskan Bangladesh 4-1 sekali gus menempah tiket ke Piala Asia di Stadium Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Pemain berusia 26 tahun itu muncul antara penyumbang gol kejayaan buat Malaysia yang juga gol pertamanya bersama pasukan kebangsaan, di samping Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Syafiq Ahmad dan Darren Lok.

Walaupun telah menjaringkan beberapa gol bersama kelabnya di Eropah, Cools yang kini dipinjamkan kepada Zulte Waregem dari FC Midtjylland berkata perasaan menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan adalah berbeza terutamanya apabila ia adalah gol sulungnya.

“Menjaringkan gol pertama saya hari ini (malam ini) bagi saya adalah saat yang menakjubkan. Saya rasa tidak percaya apa yang berlaku ketika itu, tetapi ia adalah saat terbaik untuk menjaringkan gol, saya akan menikmati dan saya harap dapat menjaringkan lebih banyak gol selepas ini,” katanya.

Cools yang dinobatkan sebagai pemain terbaik malam tadi mengakui sangat berpuas hati dengan komitmen dan semangat juang tinggi semua pemain sepanjang menghadapi kempen kelayakan itu.

“Kami sudah bersama selama sebulan dan akhirnya layak ke Piala Asia adalah satu pencapaian yang sempurna,” katanya.

Untuk rekod, Cools menyarung jersi kebangsaan pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada April tahun lepas sebelum terpilih mewakili negara ke Piala AFF 2020 tahun lepas.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah. – Bernama