Flick gembira kemenangan Jerman

in Sukan by

KEMENANGAN 5-2 ke atas Itali dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA pada Rabu nyata menggembirakan pengendali Jerman, Hansi Flick sambil menyifatkan skuad kendaliannya itu telah mempamerkan aksi yang menakjubkan di sepanjang perlawanan.

Menurut Flick, kesebelasan pemain yang beraksi pada perlawanan berkenaan turut berjaya mengapliksasikan percaturan taktikal yang diterapkan bagi menghasilkan kemenangan.

“Bagi saya, pemain-pemain telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan dan mendahului 5-0 hingga pertengahan separuh masa kedua.

“Ini sekali gus membuktikan keberkesanan percaturan yang diatur dan kita akan terus menggunakan percaturan sebegini dalam usaha mencatatkan lebih banyak kemenangan selepas ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Jerman membuka jaringan menerusi Joshua Kimmich pada minit ke-10, Ilkay Gundogan (min-49, penalti), Thomas Muller min-51 dan Timo Werner (min-68, min-69) manakala Itali menjaringkan gol menerusi Wilfried Gnonto pada minit ke-78 dan Alessandro Bastoni min-90+4).

Kemenangan itu menyaksikan Jerman berada pada kedudukan kedua Kumpulan 3, Liga A di belakang Hungary yang membenam England, 4-0 dalam satu lagi perlawanan.

Sementara itu, Roberto Mancini menyifatkan peluang skuad Itali masih terbuka untuk mara ke pusingan seterusnya, biarpun tewas.

Menurutnya, kesebelasan pemain muda yang diturunkan telah memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan.

“Bagi saya peluang masih terbuka..bukan untuk Itali sahaja, tetapi juga buat semua pasukan dalam kumpulan kali ini.

“Oleh itu, kemaraan pasukan ke pusingan seterusnya hanya akan dapat dibuat selepas aksi terakhir peringkat kumpulan nanti,” katanya.