Kerjasama UniKL, IRSE catat sejarah bidang pendidikan TVET

in Nasional by

SHAH ALAM – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mencatatkan sejarah bidang pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila berjaya menjadi universiti pertama di Asia Tenggara menjalin kerjasama dengan badan pelesenan antarabangsa berkaitan sistem kawalan isyarat pengangkutan rel iaitu Institute of Railway Signal Engineers United Kingdom (IRSE).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, satu perjanjian khusus akan dimeterai dengan IRSE bagi membolehkan UniKL menawarkan kursus di peringkat Diploma Lanjutan dan Sijil Kompetensi yang diiktiraf di seluruh dunia.

“Selepas ini pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan ada kesinambungan dengan UniKL untuk membolehkan akhirnya kita dapat satu persetujuan di antara UniKL dan IRSE dan salah satu yang saya nampak adalah pembangunan tenaga pakar dan profesional dalam bidang rel.

“Keduanya, ada kolaborasi dari segi keahlian untuk Malaysia dan barangkali kita boleh menjadi pusat penilaian dan wakil IRSE di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Mahdzir sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif IRSE, Blane Judd di ibu pejabat IRSE di London bagi memuktamadkan kolaborasi bidang yang dipersetujui bersama itu.

Turut sama, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf serta Dekan dan Ketua Kampus Pusat Rel Asia UniKL, Profesor Madya Dr. Azman Senin.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, menerusi kolaborasi tersebut, Pusat Rel Asia UniKL dilantik sebagai Pusat Penawaran Program Pembangunan Profesional bermula di peringkat sijil dan Diploma Lanjutan dalam bidang kawalan isyarat yang diperakui oleh pihak IRSE.

Menurutnya, IRSE turut bersetuju menjadikan UniKL sebagai Pusat Penilaian kepada mana-mana individu profesional dan jurutera bidang kawalan isyarat yang akan dinilai oleh Pusat Rel Asia UniKL dan juga IRSE untuk membolehkan mereka mendapat pensijilan yang diiktiraf di seluruh dunia.

“Kita di UniKL di bawah MARA mempunyai fakulti yang berkaitan dengan rel dan kita telah ada universiti ini lebih kurang dalam tujuh tahun yang lalu menawarkan ijazah dan diploma dalam bidang kejuruteraan rel.

Setakat ini kita mempunyai 180 orang pelajar dan baharu sahaja melahirkan seramai tujuh orang graduan dalam bidang tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, bidang sistem kawalan isyarat komunikasi pengangkutan rel mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan yang boleh dimanfaat oleh pelajar UniKL.

“Kita juga mempunyai keperluan daripada operator untuk mendapat tenaga kerja pakar dan kompetensi.

“Dengan pensijilan daripada IRSE, graduan-graduan yang kita lahirkan akan dapat bekerja dan diiktiraf bukan sahaja di peringkat Malaysia malah ia diiktiraf di peringkat ASEAN dan itu hasrat pertama kita dan tentulah kita ingin melihat kita mampu melatih pelajar atau graduan kita sehingga di peringkat boleh bekerja dan diiktiraf di peringkat global,” jelasnya.