Konsep perniagaan karbon elak gondol hutan

in Nasional by

SHAH ALAM – Kerajaan pusat disaran untuk menggunakan konsep perniagaan karbon seperti yang dilaksanakan negara luar bagi memelihara hutan-hutan di negara ini daripada terus ditebang.

Pakar Ekonomi daripada I-Cats University College, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, dengan konsep tersebut, ia juga akan menyebabkan kerajaan pusat tidak lagi perlu menampung kerugian yang banyak akibat impak bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh pada masa akan datang.

“Kerajaan negeri perlu meletakkan harga pasaran karbon dan kerajaan pusat perlu membayar mengikut harga tersebut. Jadi, dengan membelinya, kerajaan negeri tidak boleh tebang hutan kerana kerajaan pusat membeli karbon ini.

“Kalau mereka tebang juga, perlu ambil tindakan kerana telah melanggar perjanjian. Saya nampak ini satu-satunya cara yang boleh dilakukan kerajaan pusat untuk menjaga hutan daripada terus ditebang,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Global Forest Watch melaporkan, Malaysia telah kehilangan sebanyak 8.39 hektar litupan hutan dari tahun 2001 hingga 2020.

Mengulas lanjut, Shazali berkata, sekiranya perkara tersebut berjaya dilaksanakan, ia akan memberikan kesan yang positif kepada kerajaan pusat pada masa akan datang.

“Ini kerana, kita akan dapat alam sekitar yang bagus dan menyebabkan bencana kurang berlaku. Oleh itu, kos dari kerajaan pusat untuk bantuan, selenggara semua itu tidak diperlukan lagi.

“Jadi, di jangka masa panjang, dengan memelihara alam sekitar, walaupun kerajaan pusat terpaksa membayar kerajaan negeri, tetapi ia akan menguntungkan kerajaan pusat juga sebab tidak perlu menanggung kerosakan yang teruk,” ujarnya.

Dalam masa sama, katanya, pemeliharaan hutan wajar dilakukan kerana ia menyumbang kepada ekonomi seperti sumber takungan air dan spesis flora serta fauna yang menjadi sumber penyelidikan dan tarikan pelancong.

Beliau berkata, penebangan hutan yang dilakukan oleh kerajaan negeri berkemungkinan disebabkan oleh kekurangan kewangan untuk menampung perbelanjaan negeri tersebut.

“Sekarang ini, kita banyak kawasan yang telah digazetkan sebagai hutan simpan. Jadi, hutan-hutan ini memang tidak boleh diusik lagi oleh kerajaan negeri.

“Oleh itu, ia jadi tekanan kepada kerajaan negeri kerana mereka memerlukan sumber hasil. Mungkin ada negeri yang masih ada hutan, tetapi kewangannya kurang,” katanya.