Malaysia perlu kembali jadi negara pertanian

in Analisis Sinar by

MALAYSIA perlu kembali sebagai sebuah negara pertanian bagi mengatasi krisis bekalan makanan dan mengurangkan kebergantungan bekalan import makanan dengan negara asing.

Namun persoalan yang timbul sama ada mampukah negara ini mengeluarkan bahan makanan ternakan sendiri dan tidak bergantung 100 peratus dari luar negara.

Ketika ini, Malaysia mengimport 100 peratus makanan ternakan ayam dan akan berlaku masalah jika berlaku gangguan pada rantaian makanan global.

Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dalam Indeks Keselamatan Makanan Global pada tahun lalu iaitu naik sebanyak sembilan anak tangga berbanding tahun 2020 dengan lapan komoditi utama stabil.

Pada Selasa, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan wajar meneliti semula dasar import bahan ternakan dan tidak bergantung kepada negara luar semata-mata.

Muhyiddin berkata, langkah itu memerlukan keputusan dasar umpamanya di peringkat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang mempunyai kawasan tanah ditanam kelapa sawit, agar sebahagian daripada kawasan tersebut digunakan untuk tanaman jagung, khususnya dalam waktu tempoh tanaman semula.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, Malaysia juga perlu lebih agresif meneroka teknologi moden, bahan keperluan negara dan bahan yang diimport.

Setakat ini antara langkah kerajaan ke arah mengurangkan kebergantungan bekalan import adalah usaha mewujudkan semula ladang jagung secara besar-besaran di seluruh negara.

Ladang jagung

Kerajaan dijangka memperkenalkan pelan tindakan Pembangunan Industri Jagung Bijian bagi tempoh jangka panjang dalam usaha menangani harga dedak yang mahal.

Harga runcit ayam dan ternakan ruminan lain dijangka mampu dikurangkan secara drastik jika ladang jagung besar-besaran ini dapat direalisasikan sekali gus mengatasi isu dedak jagung yang ketika ini diimport 100 peratus.

Jika Malaysia berjaya mengurangkan import, harga bahan makanan haiwan ternakan juga akan turun.

Terbaharu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam perancangan untuk melaksanakan projek tanaman jagung bijian di tanah seluas 3,700 hektar dengan kerjasama FGV Holdings Berhad.

Jabatan Komunikasi Strategik Felda pada Rabu berkata, ia bagi membantu menyelesaikan isu kenaikan mendadak harga bekalan makanan untuk ternakan.

“Projek ini dijangka dapat menyumbang sebanyak lima peratus daripada sasaran kerajaan untuk mengurangkan import jagung bijian negara lantas dapat menstabilkan harga,” katanya.

Felda juga akan merancakkan industri ternakan ayam melalui kerjasama ladang kontrak dengan Ayamas Food Corporation Sdn Bhd.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Rabu memberitahu ayam kampung dan ayam hitam antara tiga produk komoditi yang diberi kebenaran khas oleh kerajaan untuk dieksport.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan menerusi usaha Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam melaksanakan sekuriti makanan secara sekala besar.

Nafas telah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

Angkasa pula telah mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama MAFI.

Setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijirin dan menampung sebanyak 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini.

Jika dilihat langkah yang diambil kerajaan ini, dijangka mampu beri kesan kepada pengurangan kebergantungan bekalan import makanan dengan negara asing.

Diharap usaha kerajaan ini dan ditambah dengan pengumuman Perdana Menteri sebelum ini yang menggesa budaya ‘orang tengah’ dihapuskan dan tiada permit import (AP) bagi mengimport sebarang bahan makanan dapat beri kesan positif.

Isu kenaikan harga barang ini adalah masalah rakyat dan harapan mereka adalah segala perancangan kerajaan dibuat dengan teliti dan dilaksanakan segera.

* Riswandi Razak ialah Ketua Editor Pengisian Sinar Harian