Ringgit melantun semula, ditutup tinggi berbanding dolar AS

in Bisnes by

RINGGIT melantun semula selepas mencatatkan penurunan tiga hari dagangan berturut-turut untuk ditutup tinggi sedikit hari ini berbanding dolar AS di tengah-tengah petunjuk bercampur-campur di pasaran global, kata seorang peniaga.

Pada petang Rabu, mata wang tempatan meningkat berbanding dolar AS kepada 4.4120/4150 daripada paras penutup 4.4190/4220 pada Selasa.

Seorang peniaga berkata, selepas mencatatkan penurunan pada April ekonomi China kembali stabil sedikit pada Mei susulan peningkatan perindustrian yang tidak dijangka.

Bagaimanapun katanya, penggunaan masih lemah dan memberi cabaran kepada penggubal dasar berikutan pertumbuhan perlahan yang diakibatkan daripada peraturan ketat untuk membendung Covid-19.

Sementara itu, seorang peniaga lain berkata, meskipun harga minyak yang melantun sedikit, para pelabur masih bimbang terhadap permintaan bahan api dan keseluruhan ekonomi susulan jangkaan kenaikan kadar yang tinggi oleh Rizab Persekutuan AS.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3323/3360 daripada paras penutup 5.3496/3533 pada Selasa dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1732/1758 daripada 3.1771/1797.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 3.2815/2840 daripada 3.2921/2948, namun susut berbanding euro kepada 4.6277/6309 daripada 4.6108/6139. – Bernama