Anwar gesa siasatan audit forensik pemilihan PKR dipercepat

in Politik by

SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar siasatan dibuat oleh syarikat audit terhadap audit forensik pemilihan parti itu agar dipercepatkan dan tidak dibiarkan berlarutan.

Menurutnya, ini disebabkan tugas utama parti itu adalah untuk mempersiapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kalau bicara soal ketelusan, soal integriti, kita jangan belajar daripada penipuan lain-lain parti yang tidak berani. Bila sebut tentang audit forensik pun mereka takut.

“Cuma kita minta mereka (syarikat audit yang dilantik) percepatkan (audit forensik) supaya jangan berlarutan kerana tugas kita ialah persiapkan jentera untuk pilihan raya,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik menerusi Facebooknya pada Khamis.

Pada 10 Jun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk memuktamadkan keputusan pemilihan parti sebelum dibentangkan pada Kongres Nasional PKR.

PKR kemudiannya menangguhkan Kongres Nasional yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Jun ini kepada 15 hingga 17 Julai nanti.

Selain itu, Anwar menambah, JPP PKR yang diketuai oleh Dr Zaliha telah meminta agar mereka diberikan sedikit ruang tambahan beberapa hari bagi meneliti semua aduan yang dikemukakan.

“Mungkin sebahagian daripada aduan itu yang dikira tidak munasabah, sebahagiannya mereka teliti, jadi kita harus serah kepada kebijaksanaan mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ketelusan dan integriti di dalam PKR perlu dipertahankan dan ia membezakannya dengan parti-parti lain.