Bale tidak kisah soal gaji

in Sukan by

KAPTEN Wales, Gareth Bale kini sedang mempertimbangkan beberapa tawaran daripada kelab-kelab bola sepak tidak kira sama ada pasukan itu mampu memberi gaji besar atau kecil.

Menurut Bale, dia mahu pasukan itu mampu memberikan minit permainan yang banyak kepadanya untuk memastikan dirinya cergas untuk beraksi di Piala Dunia Qatar 2022 hujung tahun ini.

“Saya mahu bermain di Piala Dunia dalam keadaan yang sangat cergas. Bila saya bermain dengan kerap, badan akan terbiasa dengan keadaan itu.

“Benar, ia situasi yang sukar buat saya ketika ini kerana tiada kelab. Tapi saya kini terdesak untuk mencari kelab.

“Sudah tentu duit bukan keutamaan saya ketika ini. Apa yang penting saya mahu tolong kelab itu dan kelab itu menolong saya semula,” katanya.

Difahamkan ketika ini, Kelab gergasi Serie A, AS Roma dilaporkan antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sensasi Wales, Gareth Bale secara percuma selepas pemain itu tidak terikat dengan mana-mana kontrak pada jendela perpindahan kali ini.

Kini, pengendali Roma, Jose Mourinho dilihat bersedia untuk mendapatkan khidmat Bale selepas dia pernah bekerjasama dengan pemain berusia 34 tahun itu ketika membimbing Tottenham Hotspur pada kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2020/2021.

Selain Roma, satu lagi pasukan EPL, Newcastle United selain beberapa kelab Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS) dan kelab Wales yang bersaing di Liga Kejuaraan, Cardiff City turut menyatakan minat untuk menandatangani Bale.