Guna hak bersuara dengan berhemah

in Analisis Sinar by

ZAMAN serba canggih kini, tidak dinafikan kita dihujani dengan kemudahan teknologi dan aplikasi media sosial yang membolehkan semua orang melontarkan pendapat masing-masing tanpa mengira waktu serta tempat.

Ada sahaja orang yang berlumba-lumba berkongsi pendapat biarpun ia mungkin mengguris hati orang lain.

Apabila ditegur mereka memberi alasan kononnya menggunakan hak bersuara, sedangkan ia mungkin menyalahi undang-undang.

Lebih teruk apabila ada pihak sanggup bergurau dan sengaja mahu mencipta nama demi media sosial.

Mereka menganggap tidak mengapa jika dilabel sebagai biadab, bermulut puaka atau mulut longkang.

Seperti kejadian tular baru-baru ini di mana peniaga bertikam lidah dengan pelanggan dengan kata-kata kesat namun menggunakan alasan ia ‘bahasa orang Melaka’.

Sedangkan ada penduduk dari negeri itu sendiri tidak bersetuju dengan kata-kata sedemikian yang dilihat sebagai kurang ajar.

Sesiapa sahaja tidak suka jika ada pihak gemar pukul rata dengan menganggap kata-kata kasar itu sebagai sifat kenegerian.

Baik negeri di semenanjung mahupun Sabah serta Sarawak, negara kita kaya dengan pelbagai dialek yang baik maksudnya. Bahasa jiwa bangsa.

Lihat sahaja komen di laman sosial, ada sahaja ungkapan yang tidak elok didengar dalam kalangan netizen.

Komen-komen yang bersifat melampau itu dapat dilihat dengan drastik sejak pemimpin negara mengarahkan kita berkurung di rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 di seluruh negara dua tahun lalu.

Namun nasihat itu dipandang serong oleh segelintir penduduk dan mula membuat hantaran jelik di media sosial.

Bukan sahaja pemimpin politik, malah pendakwah mahupun Yang di-Pertuan Agong turut menerima tempias.

Terbaharu, rujuk sahaja ruangan komen di media sosial berhubung kes menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella, membabitkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Kebanyakan komen adalah berbentuk cacian, body shaming dan lebih teruk jika ia dilihat sebagai ugutan jenayah.

Perbuatan mengutuk dan mencaci bentuk fizikal seseorang merupakan suatu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan tindakan.

Undang-undang yang terpakai di negara ini ialah di bawah Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Jika didapati bersalah mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan pula, boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100.

Salah satu kes yang menyentuh isu body shaming ini ialah melibatkan personaliti media sosial, Eira Aziera dan Pesuruhjaya Sumpah, Suharnizan Md Sidek.

Media sebelum ini melaporkan, pada 18 Ogos 2020 Suharnizan meninggalkan komen dalam siaran langsung media sosial personaliti itu.

Namun, Suharnizan mendakwa, Eira Aziera mengeluarkan kata-kata kesat termasuk memaparkan gambarnya bersama anak tanpa pengetahuan beliau.

Tindakan wanita itu memakan diri apabila dia dikecam oleh netizen lalu membuat permohonan maaf dan mendakwa gagal mengawal emosi.

Sebulan kemudian iaitu pada 15 September 2020, Suharnizan melalui peguamnya, Mohd Rasheed Hassan mengambil keputusan untuk membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sebelum memfailkan tuntutan saman.

Pada 13 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan personaliti media sosial berkenaan, membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada Suharnizan.

Moral daripada kejadian yang berlaku ini, jauhilah kata-kata yang negatif dan terapkan jiwa dengan bahasa yang indah.

Melalui bahasa juga melambangkan personaliti seseorang individu itu sendiri.

Sebagaimana nasihat Rasulullah, ‘yang terbaik di antara kamu adalah orang yang tidak menyakiti orang lain dengan lidah dan tangannya’.

* Noor Azlida Alimin ialah wartawan Sinar Harian