Kempen ‘fast track’ SPM pastikan pelajar tahfiz tidak tercicir: YIPP

in Edisi by

KUALA LUMPUR – Kebanyakan pusat tahfiz di Pulau Pinang tidak mewajibkan pelajarnya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Pengurus Besar Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Mohd Fitri Ibrahim.

Justeru, melihat perkembangan membimbangkan itu, pihaknya menggerakkan kempen dikenali sebagai ‘fast track’ SPM dengan menyasarkan 200 pelajar tahfiz untuk mengambil SPM bermula Julai 2022.

Tambah beliau, sehingga kini terdapat 46 buah pusat tahfiz berdaftar di Pulau Pinang namun anggaran pusat tahfiz tidak berdaftar dipercayai mencecah 80 buah pusat tahfiz.

“Kebanyakan pusat tahfiz al-Quran ini tidak mewajibkan pelajar untuk menduduki SPM ketika berusia 17 tahun.

“Keadaan ini menyukarkan pelajar-pelajar lepasan institusi tersebut untuk meneruskan pengajian dan mendapatkan peluang pekerjaan yang memerlukan kelulusan minima SPM,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, banyak faktor menjadi punca kepada masalah tersebut antaranya seperti kekurangan dana menggaji tenaga pengajar akademik, sistem pengajian al-Quran yang diterapkan yang tidak boleh dicampur aduk dan pelbagai faktor lain.

“Oleh itu, YIPP memulakan inisiatif melaksanakan program Iltizam Huffaz bagi membantu pelajar ini belajar dan menduduki peperiksaan SPM dengan bimbingan guru pakar.

“Dengan adanya SPM, pelajar tahfiz dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada dalam atau luar negara.

“SPM juga dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran pelajar Tahfiz di Pulau Pinang untuk mendapat peluang pekerjaan,” ujarnya.

Jelas Mohd Fitri lagi, guru Pakar yang telah dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang akan mengajar semua pelajar tahfiz itu di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kompleks Darul Hidayah, Kepala Batas.

Antara subjek yang akan diajar dalam program itu termasuklah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiyyah dan bahasa Arab.

Untuk rekod, YIPP merupakan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kawal selia Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MANIPP).