Lam Thye harap biografinya beri inspirasi utamakan rakyat

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berharap buku mengenai biografinya akan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memberi keutamaan kepada rakyat dan berharap dapat membantu dalam apa jua cara.

Lam Thye, 76, berkata, beliau akan menganggap usaha menghasilkan buku biografinya yang bertajuk ‘Call Lee Lam Thye- Recalling a Lifetime of Service’ sebagai sesuatu yang benar-benar berbaloi sekiranya buku itu dapat menggalakkan dan memberi motivasi kepada orang ramai untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Terutama sekali dewasa ini apabila kita seringkali melihat bagaimana cita-cita dan kepentingan peribadi sering mengatasi ‘perkhidmatan’, walaupun dalam kalangan mereka yang memang dipilih khusus untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya harap sekurang-kurangnya ia menjadi pesanan kepada mereka yang berkhidmat kepada rakyat supaya menjadi lebih bertanggungjawab, kerana kita manusia berpegang kepada janji,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran buku berkenaan di sini pada Khamis.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Melalui buku itu Lam Thye mengetengahkan beberapa peristiwa penting yang menurutnya, perlu disentuh dalam membicarakan liku-liku kehidupan awam selama 50 tahun yang diharunginya termasuk pilihan raya, bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Nenas pada 1969, menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang pada 1974 dan pengumuman persaraan beliau dari politik pada 1990.

Beliau juga pernah berikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara dengan berkhidmat dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) walaupun kerjaya politiknya berakhir pada 1990.

Buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin itu dikarang oleh wartawan Sofeah Chok Suat dan P Selvarani.

Antara bahagian menarik dalam buku itu ialah mengenai punca sebenar Lam Thye bersara dari politik hanya beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Umum 1990. – Bernama