Raja Permaisuri berkenan rasmi Majlis Jenama KLGCC

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Jenama Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) pada Khamis.

Nama kelab golf berkenaan telah ditukar kepada kelab golf Tournament Players Club (TPC) Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2016, namun pada November 2021 lepas ia kembali kepada nama asalnya KLGCC.

Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong pada pukul 3.10 petang di sini disambut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Pengerusi Sime Darby Property Bhd Rizal Rickman Ramli dan Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Datuk Azmir Merican.

Azmir dalam ucapannya berkata, Sime Darby Property mengambil langkah yang berani untuk melaksanakan penjenamaan semula kelab itu dalam usaha meningkatkan lagi statusnya sebagai destinasi golf premier negara, di samping mewujudkan sinergi baharu antara jenama identiti kelab dan keseluruhan KLGCC Resort Township Development.

“Daripada TPC Kuala Lumpur, kemudian ia kembali kepada nama yang memang dikenali ramai, KLGCC, saya pasti ramai yang bersetuju bahawa nama KLGCC ini mencetuskan memori sentimental yang mencerminkan kekuatan dan warisannya,” katanya.

Beliau berkata, kelab itu telah berusaha ke arah meningkatkan ciri-ciri semasanya dan memperkenalkan perkhidmatan baharu yang akan menambah baik pengalaman keseluruhan ahli dan pelanggannya.

Azmir seterusnya berkata, KLGCC juga menumpukan pada usaha mengembangkan segmen makanan dan minuman, dengan membawa masuk restoran terkenal, yang menawarkan masakan Cina, Korea, Jepun dan India.

“Dengan kelab berada pusat KLGCC Resort Township, resort itu akan menawarkan dan gaya hidup eksklusif yang merangkumi pembangunan mewah dan hartanah berprestij seperti East Residence, Senada Residence, Jendela Residence dan Sime Darby Convention Centre,” katanya.

Beliau berharap, KLGCC Resort akan berkembang menjadi salah satu pembangunan paling hebat di Kuala Lumpur, menawarkan kemudahan dan perkhidmatan bertaraf dunia, dilengkapi dengan persekitaran kemasyarakatan dan gaya hidup yang sempurna. – Bernama