Saifuddin sertai Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-India di New Delhi

in Nasional by

NEW DELHI – Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari India dan Asia Tenggara menghadiri mesyuarat khas ASEAN-India di New Delhi pada Khamis untuk menyemak kemajuan kerjasama dan membincangkan hala tuju masa depan.

Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India (SAIFMM) dua hari itu bersempena ulang tahun ke-30 hubungan dialog antara kedua-dua pihak dan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik India dengan ASEAN.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, Saifuddin bersama Menteri Luar ASEAN yang lain turut akan menghadiri Dialog Delhi ke-12.

Bertemakan “Breaking Barriers, Building Bridges in Indo-Pacific”, Saifuddin akan berucap pada sesi Panel Menteri mengenai 30 Tahun Hubungan ASEAN-India di Dialog Delhi ke-12.

Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar mengalu-alukan kehadiran rakan sejawatannya di Asia Tenggara dan Setiausaha Agung ASEAN Dato Lim Jock Hoi ke mesyuarat itu.

“Ketika ketidaktentuan global yang sedang melanda, sambil menyemak semula perjalanan selama 30 tahun yang lalu dan merencanakan laluan untuk dekad akan datang, penting untuk mengenal pasti beberapa keutamaan baharu sambil memastikan dapat merealisasikan lebih awal inisiatif yang sedang dijalankan.

“Peranan ASEAN hari ini mungkin lebih penting berbanding sebelum ini memandangkan cabaran geopolitik dan ketidaktentuan yang sedang dihadapi dunia,” kata Jaishankar dalam ucapan pembukaannya.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Jaishankar dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan. – Bernama