Yakin Tengku Zafrul mampu bawa perubahan di Kuala Selangor

in Politik by

KUALA SELANGOR – Rakyat berbilang bangsa di Kuala Selangor amat mengalu-alukan kehadiran Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membantu membawa perubahan dan kesejahteraan rakyat di daerah berkenaan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kuala Selangor, Aemierul Rizaki Rambli berkata, rakyat berterima kasih kepada Tengku Zafrul yang menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat kepada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, meskipun daerah itu baharu sahaja diisytihar sebagai Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) namun masih banyak peluang pembangunan yang perlu diterokai pada masa depan.

“Kehadiran Tengku Zafrul memberi manfaat besar kepada penduduk di Kuala Selangor lebih-lebih lagi beliau mengumumkan kelulusan bagi pembinaan stesen jajaran utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.

“Malah, Tengku Zafrul telah memberikan bantuan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah sekitar daerah ini bagi membantu sekolah uzur bagi kerja-kerja baik pulih dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Aemierul Rizaki berkata, rakyat di daerah itu juga menerima baik Tengku Zafrul yang dilihat sering turun padang bertemu rakyat.

“Kita nampak rakyat mesra dengan Tengku Zafrul, malah mana-mana program dihadiri beliau kita lihat ramai berpusu-pusu untuk rakam gambar kenangan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Selangor, Siti Robaini Samsul Darif berkata, segala bentuk agenda pembangunan dan kebaikan dibawa Tengku Zafrul disokong bagi memajukan lagi daerah yang penuh sejarah itu.

Katanya, rakyat tidak pernah menolak pembangunan dirancang di kawasan terbabit yang tentunya memberikan nafas baharu kawasan berkenaan.

“Rugilah jika kami menolak pembangunan yang ingin dibawa ke Kuala Selangor kerana masih banyak lagi peluang yang boleh diterokai dan berpotensi untuk maju di masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua MCA Bahagian Kuala Selangor, Ng Hoe Beng juga menyatakan, rata-rata kaum Cina menyokong penuh kehadiran Tengku Zafrul bagi membantu masyarakat itu terutama kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan rumah ibadah.

Selain itu, katanya, rakyat miskin dan golongan warga emas kaum itu juga turut tidak ketinggalan menerima manfaat.

“Pada masa ini, kita sedang usahakan untuk mengadakan program mendekati kaum Cina dan merancang untuk diadakan dalam waktu terdekat,” tambahnya.

Bagi pandangan Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor, S Kumarasamy, kaum India amat berpuas hati dengan Tengku Zafrul yang dilihat mudah mesra dan boleh menyelami hasrat kaum itu.

Katanya, beberapa perkara dan perancangan masa depan kaum India akan dibawa kepada pengetahuan Tengku Zafrul untuk diselesaikan.

Jelasnya, pada masa ini, golongan muda kaum itu berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan terutama dalam sektor kerajaan.

“Saya akan sampaikan hasrat penduduk India kepada beliau (Tengku Zafrul) untuk membawanya dalam mesyuarat kabinet.

“Kita berharap beliau dapat mewakili suara kami di sini untuk membantu dan memperjuangkan nasib kaum India,” katanya.