Harimau Malaya jangan leka!

in Sukan by

SELEPAS berjaya menamatkan kemarau 43 tahun layak secara merit beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2023, skuad Harimau Malaya diingatkan agar tidak terlalu leka dibuai dengan kejayaan tersebut.

Sebaliknya, Harimau Malaya perlu melakukan persiapan bermula daripada sekarang sekiranya mahu mendapatkan keputusan positif terutamanya ketika berdepan pasukan gergasi pada kejohanan itu nanti.

Itu antara nasihat pemain legenda skuad Piala Asia 1980 negara, Datuk Santokh Singh yang melihat persiapan terbaik akan membantu meningkatkan lagi prestasi Harimau Malaya bagi memastikan satu lagi sejarah baharu mampu dilakar.

“Pertama sekali, saya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan Harimau Malaya kerana berjaya menamatkan kemarau untuk layak secara merit ke Piala Asia. Ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Bagaimanapun, saya berharap pasukan tidak terlampau seronok dengan kejayaan itu kerana ia merupakan hanya satu permulaan. Persiapan rapi perlu dilakukan dengan lebih awal kerana cabaran yang sangat berbeza bakal ditempuhi pasukan negara pada kejohanan tersebut.

“Pemain-pemain perlu berlatih dengan lebih gigih lagi selepas ini selain perlu lebih berdisiplin sekiranya mahu bersaing dengan pasukan-pasukan hebat dan mencipta keputusan positif pada Piala Asia tahun depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Malaysia berjaya menempah tiket secara merit ke pusingan akhir kejohanan berprestij di rantau Asia itu selepas menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia selaku naib juara Kumpulan E di belakang Bahrain, namun kedudukan itu sudah cukup untuk menyambar slot Piala Asia 2023 selaku lima pasukan terbaik yang muncul naib juara daripada enam kumpulan.

Dengan kejayaan itu, Malaysia bakal membuat penampilan keempat di pentas Piala Asia dan yang ketiga layak secara merit (1976, 1980 dan 2023) selain edisi 2007 beraksi atas tiket tuan rumah bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Seorang lagi pemain legenda negara, Khalid Ali turut berkongsi pandangan sama dengan Santokh sambil berharap tiada mana-mana pihak akan mengganggu tugas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon bagi mempersiapkan pasukan menjelang Piala Asia 2023.

“Sudah tentu, persiapan rapi perlu bermula daripada sekarang kerana tahap Piala Asia ini bukan biasa-biasa kerana kita bakal bertemu beberapa pasukan berkelas dunia seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia selain kuasa besar Asia yang lain.

“Jadi saya amat berharap tidak akan ada mana-mana pihak atau ‘tangan ghaib’ yang akan mengganggu tugas Pan-gon bagi menyiapkan pasukan. Bagi beliau dan barisan kejurulatihan melakukan tugas mereka dengan baik,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau juga berharap agar peminat dan penyokong bola sepak Malaysia tidak terlalu meletakkan harapan tinggi kepada Harimau Malaya apabila membuat penampilan pada Piala Asia tahun depan.

“Kejayaan mara secara merit ke pusingan akhir Piala Asia selepas lebih 40 tahun ini sudah dianggap baik. Penyokong harus realistik apabila pasukan negara beraksi pada pusingan akhir Piala Asia nanti.

“Jadi janganlah kita harapkan dia (Pan-gon) mampu melakukan satu lagi kejutan kerana ini baru sahaja permulaan. Apa yang penting, kita terus menyokong pasukan dan Insya-ALLAH akan ada banyak lagi kejayaan mendatang,” ujarnya.