Pengangkutan awam percuma selama sebulan timbul perdebatan

in Analisis Sinar by

KEPUTUSAN kerajaan menawarkan perkhidmatan percuma selama sebulan bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL pastinya memberikan kelegaan kepada penumpang sekitar Lembah Klang.

Perkara itu dibuat sempena pembukaan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, ia membabitkan perkhidmatan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel serta bas RapidKL yang berkuat kuasa selama sebulan bermula Khamis.

Selain mengurangkan kos hidup rakyat, beliau berkata, pemberian tambang percuma itu juga bertujuan mengurangkan kesesakan jalan awam.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu bahawa kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM155 juta untuk pemberian tambang percuma yang mana masing-masing RM140 juta untuk semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah RapidKL, manakala RM15 juta lagi bagi KTM Komuter Lembah Klang.

Susulan keputusan berita gembira itu, timbul pula perdebatan beberapa pihak yang mana beranggapan pemberian tambang percuma itu tidak berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapi penumpang pengangkutan awam yang semakin parah.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan tiga cadangan yang lebih baik selain memberi subsidi tambang percuma.

Ia berikutan katanya, subsidi RM155 juta untuk tambang percuma itu sudah pasti tidak dapat menyelesaikan masalah dasar yang dihadapi oleh penumpang pengangkutan awam.

“Pertama menambah jumlah kereta api dan koc kereta api kepada penumpang. Cadangan ini berupaya untuk meningkatkan jumlah kapasiti penumpang dalam satu-satu masa.

“Kedua, menambah jumlah bas awam untuk penumpang. Cadangan ini juga dapat menambah jumlah laluan bas ke kawasan baharu.

“Cadangan ketiga, menaik taraf kemudahan di setiap stesen. Stesen sedia ada mempunyai masalah serius dalam menjaga kemudahan untuk orang ramai termasuk kemudahan untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Perkara sama turut mendapat perhatian Setiausaha Politik, Lim Kit Siang, Syahredzan Johan yang mana memberitahu, bahawa kerajaan perlu memberi fokus sepenuhnya terhadap penambahbaikan kualiti sistem pengangkutan awam kerana ia lebih diutamakan oleh pengguna.

Biarpun pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL adalah langkah baik, namun katanya, ia akan menjadi lebih teruk sekiranya kekerapannya tetap sama.

Tambahnya, sehingga kini masalah kesesakan masih berlaku di stesen LRT apabila pengguna terpaksa beratur selama tiga jam untuk menaiki pengangkutan terbabit.