Perkhidmatan awam percuma tidak mampu lupakan kesusahan rakyat: Salahuddin

in Nasional by

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan penggunaan secara percuma pengangkutan awam kendalian RapidKL selama sebulan.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, bantuan one-off tersebut tidak akan menyebabkan rakyat lupa terhadap kesusahan yang dihadapi sebelum ini.

“Rakyat gembira ke kalau masalah infra yang sama akan berulang dan tidak dinaiktaraf.

“Bantuan one-off ini tidak akan buat rakyat lupa kesusahan yang dihadapi kerana pengangkutan awam sebahagian daripada kehidupan harian mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Pada Khamis, Ismail Sabri mengumumkan semua pengangkutan awam kendalian RapidKL akan ditawarkan secara percuma selama sebulan, mulai hari ini.

Ismail Sabri berkata, pemberian perkhidmatan percuma Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT) serta bas RapidKL itu dibuat sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.

Beliau berharap Keluarga Malaysia yang terbabit mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam itu dan meletakkan kenderaan masing-masing di ‘Park N Ride’ dan #JomNaikMRT.