Adakah Zuraida akan kekal atau diganti?

in Analisis Semasa by

MINGGU ini, teka-teki mengenai kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam barisan kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal terjawab.

Adakah Ahli Parlimen Ampang itu akan dikekalkan atau diganti individu lain oleh Ismail Sabri selepas pertemuan empat mata nanti.

Zuraida juga mengharapkan berita baik berpihak kepadanya menjelang pertemuan bersama Perdana Menteri nanti.

“Saya tak tahu lagi bagaimana khabarnya nanti kerana belum jumpa, tetapi saya mengharapkan ia berita baik, itu sahaja.

“Berita baik itu (maksud) kekal jawatanlah supaya mudah untuk saya habiskan program dan perancangan yang telah dimulakan (sebagai menteri),” katanya di sebuah program di Sungai Siput pada Ahad.

Jawatan menteri yang diduduki oleh Ahli Parlimen Ampang itu adalah milik kuota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan bahawa Zuraida perlu diganti kerana ia adalah kuota parti itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu memaklumkan bahawa beliau sudah berhubung dengan Ismail Sabri untuk membincangkan mengenai kedudukan Zuraida dalam kabinet.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri menyatakan beliau akan berjumpa dengan saya selepas bertemu dengan Zuraida. Kini saya sedang menunggu tarikh perjumpaan berkenaan.

“Seperti yang sudah saya beritahu sebelum ini, dari segi pendirian kita, Zuraida dahulu duduk di situ (sebagai menteri) atas kapasiti dia sebagai ahli Bersatu. Sejak dahulu lagi, sejak saya dulu kuota itu adalah kuota kita.

“Tetapi keputusan untuk melantik siapa (sebagai menteri) adalah hak Perdana Menteri dan kita akan calonkan nama yang dianggap sesuai untuk menggantikan Zuraida,” katanya.

Selain dari itu, sekiranya Zuraida digantikan, timbul desas-desus bahawa Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan antara empat individu yang merupakan calon parti itu untuk mengambil jawatan yang disandang oleh Zuraida.

Tiga lagi nama lain adalah bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof; Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Zuraida meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu pada tahun 2020.

Bbeliau bagaimanapun mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).