Malaysia dijangka hadapi gelombang baharu Covid-19

in Koronavirus by

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Malaysia dijangka akan menghadapi gelombang baharu Covid-19 dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jangkaan tersebut berdasarkan perkembangan epidemiologi di negara lain yang menunjukkan jangkitan pasti berlaku.

“Mungkin dalam dua, tiga bulan lagi kita akan alami gelombang baharu, besar mana, kita tidak tahu,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pengarah-pengarah Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini pada Selasa.

Menurutnya, walaupun kes jangkitan Covid-19 di dalam negara terkawal, namun gelombang Covid-19 mempunyai pasang surut.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menggalakkan warga emas dan pesakit kronik agar mengambil suntikan dos penggalak kedua sebagai perlindungan diri,” katanya.

Beliau berkata, setakat 20 Jun, seramai 107844 individu di Malaysia menerima dos penggalak kedua.

“Daripada jumlah itu, 57,834 merupakan warga emas,” katanya.

Khairy berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas sayang serius berhubung kesan samping dos penggalak kedua.

“Mereka yang ada masalah kronik, kita galakkan untuk top-up booster,” katanya.

Pada perkembangan lain, Khairy berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Seksyen 309 adalah percubaan bunuh diri yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Ujarnya, perkara itu telah dibangkitkan di dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Tetapi pandangan jemaah menteri, biarlah perkara ini dimuktamadkan boleh AGC sama bunuh diri itu merupakan suatu jenayah.

“Selepas itu, jemaah menteri akan buat keputusan,” katanya.

Sebelum ini kerajaan pada tahun 2019 digesa untuk memansuhkan Seksyen 309.

Timbalan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia Profesor Madya Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari berkata, bunuh diri tidak boleh disifatkan sebagai satu jenayah sebaliknya merupakan faktor kesihatan mental yang kebiasaannya seseorang itu menghadapi kemurungan melampau.

Sementara itu ditanya mengenai perkembangan pemilikan aplikasi MySejahtera, Khairy berkata, KKM telah mendapat kebenaran daripada AGC untuk membuat rundingan harga.

“Kita belum membuat apa-apa bayaran,” katanya.

MySejahtera diperkenalkan pada 1 April 2020 untuk pengurusan pandemik Covid-19 di negara ini dan hak milikan diberikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan syarikat berpengkalan di Singapura, KPISOFT (M) Sdn Bhd pula bertanggungjawab menguruskan aplikasi tersebut.