Covid-19: Kematian pertama bawah 12 tahun di Singapura

in Koronavirus by

SINGAPURA – Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) memaklumkan seorang bayi lelaki berusia satu setengah tahun yang dijangkiti Covid-19 telah meninggal dunia pada Isnin.

“Punca kematian akibat Encephalitis dicetuskan oleh Covid-19, Respiratory Syncytial Virus dan jangkitan Enterovirus.

Ia merupakan kematian pertama di Singapura melibatkan pesakit berumur bawah 12 tahun,” menurut MOH dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawangnya pada Isnin.

Bayi berkenaan tidak mempunyai sejarah penyakit lampau lain dan dilaporkan sihat sebelum dijangkiti Covid-19.

Bayi itu telah dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) KK pada malam 21 Jun, selepas mengalami demam panas dan sawan berulang, serta tidak sedarkan diri.

Pesakit kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak dalam keadaan kritikal pada 22 Jun, dan disahkan menghidap Meningoencephalitis yang teruk.

Ujian tindak balas rantai polimerase mendapati bayi berkenaan positif Covid-19 serta dua virus lain – Rhinovirus/Enterovirus dan Respiratory Syncytial Virus.

MOH mengucapkan takziah kepada keluarga pesakit.

“KKH sedang berhubung dengan keluarga untuk memberikan sokongan yang diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Sehingga 12 tengah hari Isnin, republik itu melaporkan 5,309 kes baharu Covid-19 dan satu kematian. – Bernama