Dulu bawa bekal jadi bahan ketawa tapi kini…

in Pojok by

SUATU ketika dahulu, Merak Jalanan pernah diketawakan rakan kerana membawa bekal ke tempat kerja. Kata mereka, bawa bekal macam budak sekolah.

Malah, Merak Jalanan digelar ‘anak mak’ tapi sindiran nakal itu tidak memberi apa-apa kesan kerana sehingga hari ini Merak Jalanan masih meneruskan rutin membawa bekal ke pejabat.

Bukan sahaja dapat menjimatkan wang saku tapi pada masa sama dapat menikmati kualiti makanan yang sihat dan bersih.

Kerana sudah menjadi kelaziman (bawa bekal), jadi Merak Jalanan tiada isu berbangkit seperti rakan yang satu ini. Saban hari dia merungut kerana perlu membayar lebih di kedai makan. Hari-hari merungut, tapi hampir setiap hari juga beli ‘kopi pandu lalu’. Hairan!

Ramai memberi alasan makan di luar kerana tiada masa selain masih bujang. Eh…Alasan ini sudah lapuk. Sebenarnya, tiada alasan bagi lelaki atau wanita bujang untuk tidak membawa bekal ke pejabat kerana ia adalah perkara mudah dan tidak membebankan.

Masak makanan yang mudah seperti ayam kicap atau sambal telur sudah memadai.

Buang perasaan malu kerana hanya dengan cara ini sahaja kita dapat berjimat cermat di tengah-tengah kenaikan harga barang.

Apa pun, amalan membawa bekal ke tempat kerja bukan sahaja mendidik dalam mengurus perbelanjaan secara berhemah tetapi ia juga mendidik masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat seperti dapat mengawal sendiri pengambilan gula dan garam dalam makanan.

Merak Jalanan berharap coretan kali ini sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada pembaca untuk berjimat cermat dalam perbelanjaan harian ketika inflasi.

Jangan malu dan jangan segan. Apa yang penting ‘poket selamat’ perut pun kenyang.

Jika mahu berjimat cermat, bawalah bekal ke pejabat. Kenapa nak malu!