Mampukah pemimpin politik bantu rakyat

in Analisis Sinar by

SEJAK kebelakangan ini, banyak isu berbangkit yang menambah kerunsingan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Antara yang paling menarik perhatian ramai pada ketika ini adalah berhubung kenaikan harga barang yang dikhabarkan semakin tidak terkawal.

Rata-rata rakyat kini sedang mengalami kesempitan hidup kesan daripada serangan Covid-19 yang membadai ekonomi dan menjejaskan pendapatan banyak isi rumah sejak dua tahun lalu.

Dalam keadaan ramai yang sedang melalui fasa pemulihan ekonomi, kembali merangkak untuk mendapatkan kehidupan sebelum ini, ada pula yang terpaksa berdepan dengan musibah bencana alam.

Namun, apabila timbul isu kenaikan harga barang dan bebanan kos sara hidup, orang ramai tertanya-tanya peranan sebenar wakil rakyat dan pemimpin politik dalam membantu rakyat ketika keadaan sukar seperti ini.

Di manakah mereka tatkala rakyat sedang berhempas-pulas untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan serba mencabar ketika ini.

Apakah perancangan mereka dalam memastikan beban yang ditanggung rakyat dapat diringankan?

Bak kata Ketua AMK Kemaman, Mohd Hidayat Mat, isu kenaikan harga barang yang tidak terkawal mutakhir ini membawa kepada satu lagi krisis yang terpaksa dihadapi rakyat di negara ini.

Sampai bila rakyat perlu hadapi kesengsaraan dan keperitan hidup demi mencari sesuap nasi?

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat kini ditambah pula kenaikan harga barang di pasaran, tidak mustahil kalau carta kemiskinan sama naik dengan harga barang.

Ini baru cerita harga barang, belum lagi dikorek kisah kemudahan awam seperti masalah jalan, kesesakan, sistem perparitan dan macam-macam lagi isu rakyat.

Bila difikirkan, harga rumah pun semakin hilang ‘waras’ nilainya apabila tidak seimbang dengan kenaikan kadar pendapatan rakyat.

Di manakah politikus-politikus yang sepatutnya mengambil tanggungjawab dan memainkan peranan untuk membela nasib rakyat?

Adakah ini semua berpunca dari sistem politik yang mungkin disalah erti dan dimanipulasi?

Memetik pandangan penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, segala ketidaktelusan, rasuah dan permasalahan dalam sesuatu pentadbiran bukan berpunca dari sistem politik tetapi ahlinya sendiri yang menyalahgunakan dan memanipulasi kedudukan dalam politik semata-mata demi kepentingan peribadi.

“Terdapat dalam kalangan mereka (pemimpin politik) yang hanya melihat rakyat ini penting dan diperlukan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu ketika berkempen dan memancing undi sahaja, sekali gus menjadikan segala matlamat dan tujuan sebenar berpolitik itu tersasar daripada landasan,” katanya.

Apatah lagi menjelang PRU15 yang semakin hangat diperkatakan sekarang, sudah tentu ‘gula-gula politik’ menjadi pemanis oleh semua parti politik.

Lebih-lebih lagi debaran PRU kali ini memerlukan semua parti politik bekerja lebih keras untuk menambat kembali hati pengundi.

Diharapkan ketaasuban warna dan lambang parti dapat dihindarkan, sebaliknya kaji selidik calon yang ingin dipangkah demi memastikan pemimpin dipilih benar-benar dapat bekerja untuk rakyat.

Kepada pemimpin politik baharu dan lama, ketepikanlah agenda demi kepentingan peribadi dan laksanakan tanggungjawab digalas dengan sempurna.

Kepada rakyat, jangan sampai salah pilih. Kelak menyesal tidak berlagu.

Jangan lagi diulang episod hitam memilih pemimpin tanpa tujuan yang jelas dan hanya kerana menurut perasaan marah.

Dari sekarang sudah boleh merangka untuk membuat pilihan dengan tepat kerana pemimpin politik ‘sebenar’ ialah mereka yang sanggup susah dan senang bersama rakyat.

* Hazwan Mokhtar ialah Penerbit Berita dan Program Sinar Harian