Penting urus emosi anak selepas bercerai

in Lidah Pengarang by

ISNIN lalu, ramai hati mereka yang bergelar ibu tercalar menyaksikan bagaimana bekas isteri seorang ahli perniagaan terkemuka, Emilia Hanafi menyerah diri untuk menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana mengubah tarikh lawatan anaknya.

Emilia dijatuhi hukuman tersebut pada 4 September 2019 selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan permohonan komital atau menghina mahkamah yang difailkan bekas suaminya, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.

Bagaimanapun, ketika itu Emilia dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Di media sosial pula, kebanyakan netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa wanita berusia 43 tahun itu.

Tidak kurang ada yang menghambur kata-kata kurang manis terhadap SM Faisal walaupun beliau telah menjelaskan bahawa haknya untuk bersama dengan anak-anak dinafikan sejak bercerai enam tahun lalu.

Apa pun yang berlaku, keputusan mahkamah sudah ditentukan. Cuma yang tersepit ketika ini ialah tiga anak mereka berusia 10 hingga 16 tahun. Sudahlah menjadi mangsa perceraian, ibu pula dipenjara.

Dapatkah kita bayangkan apa perasaan anak-anak ketika ini?

Memetik kata-kata pakar motivasi, Fauziah Sirat dalam program Wacana Sinar Harian yang disiarkan secara langsung pada Selasa lalu, anak-anak mempunyai hak untuk tidak masuk dalam kancah pertelingkahan ibu bapa.

Menurut beliau, suami isteri yang memilih jalan untuk berpisah perlu menguruskan krisis emosi anak-anak dengan baik, jangan sampai mereka rasa terpinggir dan tidak disayangi.

Mengambil iktibar kepada kes Emilia ini, mungkin sudah tiba masanya amalan ‘berpatah arang berkerat rotan’ dalam kalangan orang kita yang bercerai, tidak lagi dijadikan amalan.

Tidak perlu bermasam muka dan saling menghasut, sebaliknya selesai hal anak-anak secara harmoni.

Kita tidak mahu lebih ramai generasi muda yang berantakan dari segi tingkah laku hanya kerana tidak mendapat kasih sayang sewajarnya daripada ayah dan ibu, walaupun mereka sudah berpisah.

Jika kebajikan jadi keutamaan, perceraian ibu bapa tidak akan menyebabkan anak-anak tidak bahagia.

Malah siapa tahu, disebabkan itu mungkin ibu dan bapa bersatu semula.