Apa tindakan kerajaan atasi kekurangan minyak masak peket?

in Analisis Semasa by

SHAH ALAM – Pihak berkuasa perlu memikirkan mekanisme terbaik dalam usaha memastikan minyak masak peket tidak terputus bekalan di pasaran.

Sejak harga minyak masak botol dua kilogram (kg) dan lima kg ditarik subsidi bermula 1 Julai lalu, tumpuan masyarakat terutama untuk rakyat berpendapatan rendah sudah tentu tertumpu kepada minyak masak peket satu kg.

Namun, apa yang menjadi kekecewaan adalah minyak masak peket yang masih dikekalkan subsidi itu sukar didapati di kedai sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Ia menimbulkan resah dalam kalangan masyarakat apatah lagi rakyat di negara ini sememangnya banyak bergantung kepada minyak masak dalam kehidupan seharian.

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberikan jaminan bahawa kekurangan minyak masak peket adalah bersifat sementara dan dijangka selesai dalam masa beberapa hari.

Permintaan yang tinggi daripada pengguna antara faktor utama menyebabkan bekalan minyak peket cepat habis di pasaran.

KPDNHEP juga menjelaskan kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi kepada pengilang sebelum diagihkan kepada pembungkus dan pemborong pada setiap bulan.

Jadi, marilah kita bersama-sama menunggu beberapa hari lagi untuk melihat sama ada minyak masak peket akan mudah didapati di pasaran.

Jika tidak, kerajaan perlu mengambil langkah drastik untuk mengatasi perkara tersebut sekali gus mengurangkan beban rakyat yang sudah sedia terhimpit