Alternatif hadapi kenaikan kos bayaran kematian

in Pojok by

SANA sini orang bercerita mengenai kenaikan harga barang, inflasi dan bayaran hutang pinjaman yang meningkat disebabkan pengumuman kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.25 peratus.

Apa yang menarik perhatian Merak Jalanan ialah laporan berita mengenai kenaikan harga barang akan menyebabkan kos untuk urusan pengebumian kini memerlukan RM5,000 bagi mereka yang tidak menyertai khairat kematian.

Wang itu untuk kos van jenazah, kelengkapan kapan, upah menggali kubur, majlis tahlil tiga malam berturut-turut, tempahan makanan dan lain-lain.

Oleh itu, bagi mengurangkan beban, adalah amat wajar umat Islam yang belum mendaftar khairat kematian berbuat demikian bagi mengelakkan terbeban dengan kos pengurusan jenazah.

Sebenarnya banyak kelebihan apabila menyertai khairat kematian yang dikelolakan oleh pihak masjid atau surau.

Contohnya di kawasan tempat tinggal Merak Jalanan ini, khairat kematian menyediakan banyak faedah kepada ahli-ahlinya.

Antaranya kos pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya dan sumbangan wang tunai kepada waris sebanyak RM2,000 apabila berlaku kematian.

Dengan hanya membayar RM50 setahun, pengurusan jenazah akan diuruskan untuk satu keluarga jika berlaku kematian tidak kiralah sama ada mempunyai 10 anak.

Pihak surau juga akan melakukan majlis tahlil berserta jamuan makanan untuk waris untuk satu malam selepas berlaku kematian.

Bagi Merak Jalanan, apa yang paling bermanfaat ialah sudah tiga tahun tidak perlu membayar yuran tahunan kerana dana khairat ketika ini sudah mencecah RM50,000.

Menurut jawatankuasa surau, apabila dana tersebut turun kepada RM20,000, maka barulah semua peserta perlu membayar semula yuran tahunan berkenaan.