E-Metro Logistic Park solusi logistik mampan berskala besar

in Bisnes by

SIME Darby Property Berhad (Sime Darby Property) dan LOGOS SE Asia Pte. Ltd. (LOGOS Property) membentuk usaha sama SDPLOG untuk membina E-Metro Logistic Hub di Bandar Bukit Raja, di sini yang mana fasa satu pembinaannya dijangka siap pada Jun tahun depan.

Projek pembangunan hab logistik berkeluasan 71.63 hektar tersebut dijangka menawarkan Kawasan Boleh Disewa Kasar (Gross Lettable Area) seluas lapan juta kaki persegi yang menyediakan penyelesaian logistik mampan, berskala besar, dan bersepadu.

Taman logistik tersebut turut merangkumi penyelesaian terbina-untuk-spesifikasi (built-to-specification) dan sedia-bina (ready-built) bagi memberi fleksibiliti pelanggan penyewa mengembangkan perniagaan mengikut keperluan komersial mereka.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lokasi strategik E-Metro Logistics Park dan ketersambungannya dengan lebuh raya utama, pelabuhan dan lapangan terbang di samping kemudahan-kemudahan logistiknya yang menarik, menjadikan ia sesuai sebagai hab rantaian bekalan serantau.

“Saya turut gembira untuk mengambil maklum bahawa pembangunan ini akan menyokong matlamat kami untuk meningkatkan sektor yang didorong oleh perindustrian bagi Selangor serta mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pusat maritim dan hab logistik bukan sahaja di Malaysia, tetapi di Asia Tenggara.

“Selain itu, saya turut difahamkan dijangka lebih 4,500 peluang pekerjaan akan diwujudkan menjelang tahun-tahun mendatang hasil daripada daripada projek ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan ‘E-Metro Logistics Park’ Hasil Usaha Sama Sime Darby Property dan LOGOS Property di Bandar Bukit Raja, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, E-Metro Logistics Park adalah projek pembangunan perindustrian dan logistik pertama di bawah Dana Pembangunan Perindustrian (Dana) sulung SDPLOG yang sebelum ini mengumumkan komitmen modal sebanyak 70 peratus diperoleh pada Penutupan Pertama (First Close) untuk saiz dana sehingga AS$250 juta.

Dana patuh Syariah tersebut akan dipacu oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) termasuk dana-dana unit amanah di bawah pengurusannya serta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), dengan Sime Darby Property dan LOGOS Property sebagai penaja dan pelabur bersama dalam Dana.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, beberapa bank tanah (land bank) di lokasi-lokasi strategik turut diaktifkan bagi memperoleh lebih banyak nilai jangka panjang serta memajukan penawaran pembangunan perindustrian dan logistik syarikat.

Ujarnya, E-Metro Logistics Park akan mendapat manfaat daripada permintaan tinggi untuk penyelesaian logistik dan pergudangan di Lembah Klang, berikutan aliran perdagangan global serta pembangunan rantaian bekalan.

“Bersama-sama dengan LOGOS Property, kami membangunkan aset hartanah logistik berkualiti tinggi dan mampan yang bakal memberikan penyelesaian bersepadu dengan kemudahan bertaraf global untuk pihak berkepentingan dan pelabur kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua LOGOS Malaysia, David Aboud berbesar hati utnuk memulakan pembangunan strategik tersebut untuk SDPLOG serta rakan-rakan modalnya, selain bekerjasama dengan perniagaan-perniagaan tempatan untuk membina taman logistik tersebut.

“Baru-baru ini, kami menganugerahkan kontrak pembinaan induk pertama kepada kontraktor tempatan, dan pasukan reka bentuk untuk fasa seterusnya merangkumi sebuah firma seni bina tempatan yang terkenal.

“Ini menunjukkan bakat berdaya saing global di dalam sektor pembinaan Malaysia disokong dengan kepakaran tempatan dan serantau hasil rangkaian SDPLOG akan menyaksikan kami menyampaikan penyelesaian logistik yang moden dan terkini untuk pasaran Malaysia,” katanya.

E-Metro Logistics Park mudah diakses melalui lebuh raya utama seperti Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (Shapadu) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang baru dibuka.

Semua lebuh raya tersebut menghubungkan taman logistik berkenaan dengan hab-hab utama seperti Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta dengan taman-taman perindustrian Sime Darby Property yang lain di City of Elmina, Serenia City dan Hamilton Nilai City, antara lain.