Penyandang jawatan semua peringkat UMNO bukan ‘caretaker’

in Politik by

SHAH ALAM – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa penyandang jawatan bagi semua peringkat parti itu kini berstatus ‘caretaker’ susulan penangguhan pemilihan parti berkenaan.

Tegasnya, dakwaan itu tidak berasas kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) turut mengesahkan bahawa tidak berlaku seperti mana didakwa.

Beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah pun membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan.

“Penangguhan itu disahkan melalui surat kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, ROS pada 30 Ogos 2021. Ini bermakna penjawat jawatan penggal ini dilanjutkan hingga 29 Disember 2022.

“Ketika pelanjutan tempoh itu, tiada istilah ‘caretaker’ dalam Perlembagaan UMNO. Oleh itu, UMNO berhak membuat apa jua keputusan bagi kepentingan parti.

“Ini termaktub dalam Perlembagaan UMNO fasal 10.15 iaitu ‘Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti’,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menjelaskan MKT berhak menangguhkan pemilihan pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan UMNO fasal 10.16.

Ujarnya, penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

Sementara itu, dalam hantaran sama, Ahmad turut memaklumkan UMNO masih lagi menunggu kelulusan daripada ROS mengenai pindaan perlembagaan parti itu.

“Segala dokumen tambahan telah diberi. Tiada sebarang persoalan dan dokumen lain yang ROS perlukan.

“Ini saya tanyakan sendiri kepada mereka. Adalah diyakini UMNO telah melaksanakan pindaan itu mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan,” katanya.