Pemilihan PKR: Tewas kepada Altimet, Hans Isaac minta penjelasan

in Politik by

SHAH ALAM – Pengarah dan pelakon, Datuk Gerald Hans Isaac, 51, atau lebih dikenali sebagai Hans Isaac mengakui tidak terkejut terhadap keputusan terbaharu pemilihan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang.

Ia selepas beliau yang sebelum ini dinamakan sebagai pemenang bagi jawatan itu pada 1 Julai lalu tewas dalam kiraan semula kepada pesaingnya yang juga merupakan penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet.

Hans Isaac berkata, beliau akan menulis surat kepada Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) untuk meminta penjelasan berkenaan beberapa persoalan berkaitan proses dilaksanakan dalam pemilihan berkenaan.

“Saya akan hantar surat hari ini (Sabtu) dan saya bagi mungkin JPP seminggu lebih untuk jawab soalan-soalan saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Paparan dalam laman web keputusan pemilihan PKR mendapati Altimet mendapat 743 undi mengatasi Hans Isaac, 734 undi.

Mengulas lanjut, Hans Isaac berkata, beliau akan akur dan menerima keputusan pemilihan tersebut sekiranya JPP memberikan penjelasan memuaskan terhadap pertanyaan diajukannya menerusi surat berkenaan.

Dalam keputusan pemilihan PKR pada 1 Julai, Hans Isaac dilaporkan menang selepas meraih undian sebanyak 784 undi mengatasi Altimet yang mendapat 746 undi.