Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS

in Bisnes by

RINGGIT dijangka terus diniagakan dalam jajaran kecil sekitar RM4.42 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan berikutan sentimen pasaran yang bercampur-campur, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, minggu depan juga akan menyaksikan pasaran menumpukan perkembangan mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Jun 2022 yang dijangka meningkat kepada 8.7 peratus berdasarkan anggaran awal, daripada 8.6 peratus pada Mei 2022.

Angka rasmi itu akan diumumkan pada 13 Julai depan.

Selain itu, beliau berkata, pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS juga cenderung dengan pandangan bahawa inflasi pada masa ini disebabkan oleh fenomena atau faktor-faktor berkaitannya.

“Ini akan meletakkan pihak Fed sebagai di barisan hadapan dari segi langkah memperketat dasar monetari ketika bank-bank pusat lain kekal terhadap keputusan menaikkan kadar faedah masing-masing,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS berikutan kelemahan sentimen akibat pengukuhan mata wang negara maju tersebut.

Ringgit di paras 4.4250/4270 berbanding dolar AS pada Jumaat berbanding 4.4060/4085 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu bagaimanapun diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama pada asas Jumaat hingga Jumaat, kecuali bagi yen Jepun yang menyaksikannya susut kepada 3.2577/2595 daripada 3.2483/2504 sebelumnya.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1528/1547 daripada 3.1596/1618 seminggu sebelumnya dan naik berbanding pound Britain kepada 5.2888/2912 daripada 5.3163/3193 serta mengukuh berbanding euro kepada 4.4777/4797 daripada 4.5060/6086, minggu lepas. – Bernama