Kejuaraan AFF 2022: Malayan Tigress akur aksi luar biasa Australia

in Sukan by

SKUAD Malayan Tigress terus mempamerkan aksi mengecewakan apabila mengalami kekalahan ketiga berturut-turut di Kejuaraan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 di Manila, Filipina hari ini.

Kali ini, skuad kendalian Jacob Joseph diaibkan 0-6 oleh skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Australia, dalam perlawanan terakhir Kumpulan A yang berlangsung di Stadium City of Imus Grandstand.

Babak pertama perlawanan menyaksikan skuad B-23 Australia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Chelsea Dawber seawal minit ke-13, diikuti Mackenzie Hawkesby selang tujuh minit kemudian sebelum Chelsea menyumbat gol ketiga pasukan pada minit ke-24.

Bersambung separuh masa kedua perlawanan, Malayan Tigress terus dihukum dengan tiga lagi gol menerusi Mackenzie masing-masing pada minit ke-65 dan ke-67 diikuti Jamilla Rankin pada minit ke-81.

Malaysia sebelum ini, mencatatkan keputusan seri bertemu Singapura dan Indonesia sebelum mengalami kekalahan kepada Filipina dan Thailand, dalam aksi kumpulan A.

Dalam pada itu, dua pasukan teratas Kumpulan A iaitu Thailand dan Filipina, mengesahkan slot ke separuh akhir selepas masing-masing bertemu dalam perlawanan pelengkap kumpulan hari ini.

Biarpun tumpas 0-1, tuan rumah Filipina menempah slot ke separuh akhir apabila menduduki tempat kedua dengan kutipan 12 mata, manakala Thailand muncul pendahulu carta kedudukan selepas mengumpul 13 mata.

Di peringkat separuh akhir, Thailand akan berdepan Myanmar, manakala Filipina dijadual bertemu Vietnam. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung Jumaat ini. – Bernama