Senarai pemain B-19 ke separuh akhir belum muktamad

in Sukan by

PENGENDALI skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Hassan Sazali masih belum dapat memuktamadkan keputusan mengenai pemain yang bakal diturunkan pada aksi separuh akhir Kejuaraan B-19 AFF berdepan Vietnam di Stadium Patriot Candrabhaga pada Rabu nanti.

Menurutnya, pihaknya mengambil sikap untuk melihat dari segi kesesuaian pemain sebelum menamakan kesebelasan yang bakal beraksi kelak.

“Saya sendiri pun tak tahu siapa yang akan diturunkan nanti…namun yang pasti kita akan berikan peluang kepada mereka yang benar-benar layak untuk beraksi.

“Oleh itu, tempoh pemulihan (recovery), selama sehari perlu dimanfaatkan oleh pemain bagi memastikan kecergasan diri berada pada tahap yang optimum menjelang aksi separuh akhir nanti,” katanya.

Untuk rekod, skuad B-19 negara mara ke separuh akhir biarpun tewas 0-1 kepada Laos pada aksi terakhir Kumpulan B pada Isnin.

Skuad B-19 negara menamatkan saingan di peringkat kumpulan pada kedudukan kedua dengan meraih tujuh mata hasil dua kemenangan, seri sekali dan tewas sekali daripada empat perlawanan.

Mengulas mengenai aksi berdepan Vietnam Hassan Sazali mengakui skuad kendaliannya bakal berdepan dengan sebuah pasukan yang hebat.

Bagaimanapun katanya, kesemua pemain diharap bersedia bagi mengharungi perlawanan berkenaan dan seterusnya dapat menjamin kemaraan ke final kelak.

“Bagi saya Vietnam ni merupakan antara pasukan yang kuat, oleh itu kita telah buat persediaan rapi untuk berdepan mereka.

“Diharapkan persiapan kita kali ini dapat membentuk keserasian yang lebih dalam kalangan pemain bagi menjamin kejayaan pasukan,” katanya.