Forest sambar bintang muda Liverpool

in Sukan by

NOTTINGHAM Forest menambah kekuatan kelab apabila menandatangani pemain antarabangsa Wales, Neco Williams dari Liverpool dengan kontrak empat tahun, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang baru dinaikkan pangkat itu.

Media tempatan melaporkan Forest membayar Liverpool sebanyak 16 juta pound (RM84 juta) untuk produk akademi kelab Merseyside itu yang telah bermain 33 kali untuk The Reds.

Untuk rekod, bek kanan berusia 21 tahun itu menghabiskan separuh masa kedua musim 2021-22 secara pinjaman bersama kelab Liga Kejuaraan Fulham, membuat 14 penampilan bersama The Cottagers ketika mengesahkan kejuaraan liga.

Williams juga mempunyai 21 penampilan untuk Wales termasuk ketika membantu pasukannya melakar kemenangan playoff 1-0 ke atas Ukraine bulan lalu yang mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Dunia di Qatar.

Untuk rekod, Williams menjadi pemain keenam direkrut Forest selepas Taiwo Awoniyi, Dean Henderson, Omar Richards, Giulian Biancone dan Moussa Niakhate.

Forest memulakan kempen liga teratas Inggeris musim baharu dengan lawatan ke St Jame’s Park berdepan Newcastle United pada 6 Ogos ini.